Saifuddin Nasution gesa Pas bukti kesungguhan isu RUU 355

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada ahli Parlimen Pas berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau disebut RUU 355.

Menurutnya, selepas setahun menjadi kerajaan masih tiada kertas Kabinet untuk melaksanakan RUU 355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Tiada dibentang dalam Kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam Parlimen. Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli Parlimen parti Islam termasuk Marang (Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Apa khabar RUU 355? Kenapa tak boleh laksana? Sebab tiada kuasa politik pada peringkat kerajaan pusat?

"Di atas prinsip memperjuangkan hukum Islam maka Marang bentangkan sebagai rang undang-undang persendirian. Bukti kesungguhan. Kemudian mati di situ,” katanya di Facebook beliau pada Ahad.

Terdahulu, RUU355 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Presiden Pas sebagai RUU persendirian.

Perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017 namun RUU355 itu baru di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Bagaimanapun, pada 26 November tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, RUU akan dibincangkan di peringkat negeri awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: RUU 355 perlu runding dengan negeri sebelum bentang

Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu secara sinis menyatakan majoriti ahli Kabinet kerajaan PN kini ialah Melayu Islam.

“Hari ini sebuah kerajaan Melayu Islam terbentuk (abaikan walaupun jalan khianat). Menteri agama (adalah) bekas mufti, menteri undang-undang pula dari parti Islam.

“Majoriti ahli Kabinet Melayu Islam.. tolak We Ka Siong, Saravanan, Ronald Kiandee. Peguam negara bukan lagi Tommy Thomas tetapi Idris Harun iaitu seorang Muslim. Kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam,” sindirnya lagi.