PKP: Jalan sempadan Tanjung Malim-Hulu Bernam ditutup

Sulizmie Affendy
Sulizmie Affendy
A
A
A

TANJUNG MALIM - Penutupan jalan dan lencongan laluan akan dilakukan di sekitar pekan Tanjung Malim dan kawasan bersempadanan negeri dengan Selangor susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari depan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, jalan keluar dari pekan Tanjung Malim menghala ke Hulu Bernam di Jambatan Stesen Bas Tanjung Malim ditutup kecuali untuk penunggang basikal dan pejalan kaki.

Menurutnya, hanya jalan masuk dari Hulu Bernam ke pekan Tanjung Malim sahaja akan dibuka sehala.

"Orang ramai yang masuk ke Tanjung Malim boleh keluar semula menggunakan Jalan Persekutuan (Taman Universiti - Dusun Bay) untuk ke arah selatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, penutupan dan lencongan jalan ini akan bermula pada Isnin jam 8 malam.

Langkah itu katanya, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan yang sempit di Stesen Bas Tanjung Malim.

"Masyarakat diminta bersabar dengan segala kesulitan yang dilalui sekarang dan menyarankan agar semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: