X

Kindly register in order to view this article
!

Harga bawang dan cili merah turun 10 peratus

Rosol (dua dari kanan) bertanya khabar Muhammad Mu'az Zhofri dan bapanya, Mohamad Yong Awang ketika menziarahi remaja itu. Selain sumbangan wang, Rosol juga bersedia membantu pelajar cemerlang itu merealisasikan cita-citanya.
A
A

KUALA TERENGGANU – Harga bawang dan cili merah kini dilaporkan menurun lebih 10 peratus berbanding sebelum ini berikutan bekalan di pasaran kembali stabil.

Dua jenis barang itu sebahagian daripada 406 barang keperluan harian pengguna yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian itu melakukan perbandingan harga purata barang keperluan harian sebelum dan semasa PKP 2.0.

"Kita dapati harga bagi 45 peratus dari lebih 400 barangan berkenaan menurun.

“Bawang merah kecil import Thailand yang sebelum ini dijual pada harga RM17.82 sekilogram kini berharga RM15.79 manakala cili merah minyak sekarang berharga RM17.68 kg berbanding RM21.68,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Muhammad Mu’az Zhofri, 13, pelajar pintar yang kesempitan wang untuk membayar yuran kemasukan ke Kolej Genius Insan (KGI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kampung Losong, di sini pada Ahad.

Menurut Rosol, kenaikan dan penurunan harga barangan disebabkan beberapa faktor antaranya perkembangan cuaca dalam dan luar negara khususnya bagi sektor penting seperti pertanian selain rantaian bekalan di pasaran.

Beliau berkata, sebagai contoh banjir besar di China yang merupakan pembekal 80 peratus sayur import diikuti penurunan suhu mendadak pada hujung tahun lalu menjejaskan aktiviti pertanian di sana hingga harga sayur meningkat antara 150 hingga 200 peratus.

Bagaimanapun katanya, bekalan import sayuran seperti kubis bulat, lobak dan bawang putih ke negara ini dijangka pulih pada akhir bulan ini atau awal Mac nanti.

“2,300 anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa ada di lapangan bagi memantau harga semasa barang keperluan harian dan kita minta jika berlaku penipuan atau kenaikan tidak munasabah, boleh buat aduan segera,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!