Kerajaan cadang wujud tahfiz negara tahun depan

Fuziah Salleh
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang mewujudkan Majlis Tahfiz Negara awal tahun depan dalam usaha menyelaras sekolah-sekolah tahfiz swasta yang merupakan teras kepada pendidikan tahfiz negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata dengan adanya majlis itu, kerajaan dapat menambahbaik institusi tahfiz berdasarkan lima teras utama.

"Lima teras itu ialah memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan, memperkenalkan model institusi tahfiz yang diiktiraf, memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa tadbir urus institusi tahfiz, mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu adakah kerajaan akan meneruskan dasar membangunkan pusat tahfiz dengan menambahbaik pusat pengajian itu.

Selain itu, Fuziah berkata kerajaan juga akan meminda undang-undang bagi meluaskan kuasa majlis mengawal selia sekolah-sekolah agama Islam. Di samping itu, katanya kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan satu kaedah baharu untuk memasukkan definisi sekolah tahfiz kepada sebahagian daripada definisi sekolah agama.

Bagi menjamin keselamatan di tahfiz pula, Fuziah berkata Jakim dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Niosh) melaksanakan kursus keselamatan dan kesihatan di sekolah tahfiz dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan.

Sehingga Jun lepas, 815 pusat tahfiz swasta didaftarkan dengan 47,474 pelajar dan 5,426 tenaga pengajar.

Fuziah turut menegaskan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2019 hanya akan diberikan kepada pusat tahfiz yang berdaftar sahaja, justeru mengingatkan pengusaha pusat pengajian itu di seluruh negara untuk berbuat demikian bagi memastikan mereka tidak ketinggalan untuk mendapatkan bantuan. - Bernama