X

Kindly register in order to view this article
!

Pengambilan pekerja asing ambil kira situasi semasa

Mohd Khairuddin melakukan lawatan kerja ke ladang lada yang diusahakan 23 peserta di Felda Inas Utara, Kulai pada Ahad.
A
A

KULAI - Pengecualian pembekuan pengambilan pekerja asing untuk perladangan dan komoditi hanya akan dibuat selepas mengambil kira kejayaan mengawal Covid-19 dalam sektor itu membabitkan tenaga kerja sedia ada.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, faktor lain yang diambil kira ialah kemampuan pengusaha menyediakan penginapan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Dasar kerajaan ketika ini membekukan pengambilan pekerja asing kerana mengutamakan kesejahteraan rakyat tempatan terlebih dahulu.

"Kita sedang menggerakkan kempen supaya sektor perladangan seperti sawit, getah dan perkayuan melaksanakan SOP yang ketat bagi memastikan tiada penularan virus itu dalam sektor terbabit.

"Jika berjaya dilaksanakan, mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk melaksanakan pengecualian tetapi bergantung kepada kejayaan kita untuk mengawal tenaga kerja sedia," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Lada di Felda Inas Utara, dekat sini pada Ahad.

Sebelum ini, kementerian berkenaan menerima permohonan pemain industri dalam sektor terbabit untuk dikecualikan daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan kerajaan.

Ia susulan kekurangan tenaga kerja dihadapi pengusaha kerana pekerjaan sedemikian kurang mendapat sambutan daripada warga tempatan.

Mohd Khairuddin berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor itu.

Antaranya kata beliau, kerajaan menyediakan dana RM36 juta untuk diberi kepada syarikat yang berjaya menggantikan tenaga kerja asing dengan pekerja warga tempatan.

Menerusi inisiatif tersebut ujarnya, kerajaan memperuntukkan RM600 sebulan bagi seorang pekerja selama tempoh enam bulan.

"Selain itu, program rekalibrasi yang bertujuan mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengisi kekosongan yang diperlukan dalam sektor tertentu sedang dalam peringkat rundingan dan bergantung kepada keupayaan pengusaha menyediakan persekitaran kerja yang mematuhi SOP ditetapkan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!