Pemuda UMNO terkilan PPD keluar pekeliling halang kerja amal

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO melahirkan rasa terkilan apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di beberapa negeri mengeluarkan pekeliling arahan menghalang kerja amal bakti Skuad Sabil dan sukarelawan sayap itu atas alasan tidak mahu pengaruh politik masuk ke sekolah.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kehadiran mereka hanyalah untuk membantu menyahkuman kawasan sekolah bagi mencegah wabak virus Covid-19.

“Kami tidak pun mengadakan sebarang perjumpaan atau program politik dengan pihak pelajar jika alasan kami ingin mempengaruhi mereka dengan ideologi politik.

“Lebih pelik, bukankan UMNO juga sebahagian daripada yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini? Atau apakah kami dianggap parti penumpang sahaja dalam kerajaan kerana menterinya merupakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Asyraf berkata, sikap segelintir pihak yang cuba menghalang dan mencetuskan kecurigaan terhadap kerja amal seperti itu tidak sedikit pun menjejaskan semangat Pemuda UMNO dan Sukarelawan Skuad Sabil untuk terus mencurahkan khidmat bakti.

“Terutama demi keselamatan pelajar-pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi,” katanya.

Pada 8 November lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari ini.

Peperiksaan STPM pula dianjakkan kepada 8 Mac 2021.

Artikel Berkaitan: