Peguam Dr Mahathir undang Tommy berdialog

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (Surat jemputan kepada Tommy)
Mohamed Haniff Khatri Abdulla (Surat jemputan kepada Tommy)
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengundang bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menyertai dialog dalam talian bertajuk “Antara Politik dan Undang-undang” pada Selasa ini.

Program dialog anjuran JOMChannel itu diadakan untuk membincangkan mengenai buku kontroversi yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Beliau berkata, undangan rasmi sudah dihantar pada 9 Februari kepada Tommy untuk menyertai sesi dialog itu oleh penganjur.

Mohamed Haniff sebelum ini kerap menjadi tetamu program itu berkata, biasanya program berkenaan diadakan dalam bahasa Malaysia namun akan membuat pengecualian jika Tommy sudi hadir.

“Penganjur berjanji jika anda hadir, program itu akan dijalankan dalam bahasa Inggeris,” menurut undangan kepada Tommy yang dimuat naik Mohamed Haniff di laman Facebooknya pada Ahad.

Undangan itu turut menyatakan Tommy dialu-alukan menyertai program yang dijadualkan bermula 8.30 malam dan berakhir 10 malam itu, pada bila-bila masa, dengan tempat duduk akan disediakan di atas pentas.

Mohamed Haniff yang pernah mewakili beberapa individu kenamaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi jaminan kepada Tommy yang perbincangan itu akan dijalankan dengan adil dan berdasarkan fakta.

Sebelum ini, Mohamed Haniff mengkritik buku Tommy itu dengan berkata, peguam negara tidak boleh mendedahkan nasihat yang diberikan kepada kerajaan semasa menyandang jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia umpama pelanggaran hak istimewa antara peguam dan anak guamnya.

Mohamed Haniff juga mengkritik dakwaan Tommy bahawa Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri 'secara sukarela' dengan berkata, ahli politik veteran itu melakukannya mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, beberapa pihak membuat laporan polis terhadap Tommy berhubung bukunya itu termasuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pada Khamis, Mohamed Apandi membuat laporan polis terhadap Tommy atas dakwaan melakukan tiga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mohamed Apandi berkata, Tommy mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk bawah undang-undang kerahsiaan negara termasuk perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku peguam negara ketika itu.

Beliau berkata, pendedahan Tommy merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.