Najib persoal laluan hijau Malaysia - Indonesia

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan Indonesia.

Beliau berkata, kebiasaannya pelaksanaan RGL hanya melibatkan negara yang berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Sebab itu, Singapura gantung perjanjian RGL dengan kita bulan lepas setelah penularan Covid-19 melonjak naik di Malaysia. Sebab itu juga, Brunei tidak layan permintaan kita untuk wujudkan RGL dengan kita apabila melihat penularan Covid-19 di Malaysia tidak terkawal,” katanya melalui hantaran di Facebook milik beliau pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan bagaimana Indonesia boleh dikategorikan sebagai negara yang berjaya mengawal wabak berkenaan.

“Adakah Indonesia (176,433 kes aktif, 12,156 kes baru dan 191 kematian pada Sabtu) boleh dikategorikan sebagai negara yang telah berjaya kawal Covid-19?

“Apakah jaminan bahawa mutasi baru dari negara tersebut tidak akan menular ke Malaysia melalui RGL ini memandangkan negara itu merupakan sumber asal mutasi Covid-19 pertama yang menular dengan 10 kali lebih laju dan mencetus gelombang ketiga Malaysia tahun lepas?” Soal beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Indonesia pada Khamis untuk lawatan rasmi atas undangan khas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) selama dua hari.

Menerusi hantaran Facebook rasminya pada Jumaat, Muhyiddin berkata, perbincangan secara bersemuka itu memberi ruang bagi kedua-dua pemimpin mengorak langkah untuk meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu adalah pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani Covid-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia, Indonesia setuju wujud laluan hijau tingkat perdagangan