Lepas gian berlumba ketika PKP

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi samseng jalanan dekat Lebuhraya Senai - Desaru pada Sabtu.
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi samseng jalanan dekat Lebuhraya Senai - Desaru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tujuh lelaki ditahan dalam operasi samseng jalanan dekat Lebuh Raya Senai - Desaru, pada Sabtu kerana melakukan aksi bahaya ketika melepaskan gian berlumba di jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, bertindak atas maklumat berkaitan lumba haram dan aktiviti samseng jalanan di Lebuh Raya Senai - Desaru, seramai 13 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke kawasan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat lokasi berkenaan merupakan lokasi panas bagi aktiviti samseng. Menerusi operasi yang dijalankan jam 10 malam itu, seramai tujuh lelaki berusia 17 hingga 23 tahun ditahan atas kesalahan berlumba dan melakukan aksi bahaya di jalan raya yang mana boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Alasan diberikan ketika ditahan, mereka mahu melepaskan gian ketika tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kumarasan berkata, semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu tindakan turut diambil di bawah kesalahan PKP 2.0 Perkara 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (PPDPP) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ujian urin terhadap semua tangkapan mendapati seorang daripadanya positif dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Tujuh motosikal pelbagai jenama disita dan lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan: