Jenayah komersil di Kluang meningkat

Mohd Abduh
Mohd Abduh
A
A
A

KLUANG – Kes jenayah komersil di daerah Kluang meningkat sebanyak 93 kes kepada 420 kes sepanjang tahun tahun 2018 berbanding 327 kes pada tahun 2017.

Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, angka ini juga turut menyumbang kepada peningkatan nilai kerugian sebanyak RM2.47 juta kepada RM7.09 juta pada tahun lalu berbanding RM4.61 juta pada tahun 2017.

“Berdasarkan statistik, kes tipu paling banyak dilaporkan pada tahun 2018 iaitu sebanyak 367 kes dengan kerugian sebanyak RM6.19 juta diikuti pecah amanah (15 kes), jenayah siber (enam kes) dan lain-lain kes (32 kes).

“Jumlah kes penipuan yang paling banyak dilaporkan di daerah ini pada tahun lalu adalah penipuan melalui talian dan sistem pesanan ringkas (SMS) seperti penyamaran atau ‘Macau Scam’ sebanyak 85 kes dengan nilai kerugian RM2.09 juta,” katanya.

Menurutnya, selain itu, penipuan pinjaman wang tidak wujud pula mencatatkan sebanyak 112 kes dengan nilai kerugian RM600,033, penipuan pembelian menerusi internet sebanyak 80 kes (nilai kerugian RM269,723), ‘Love Scam sebanyak 22 kes (nilai kerugian RM275,360) dan pelaburan sebanyak 11 kes (nilai kerugian RM513,330).

Katanya, sepanjang bulan Januari 2019 ini sahaja, sebanyak 34 kes penipuan melibatkan nilai kerugian RM626,929 telah dilaporkan berbanding sebanyak 27 kes pada tempoh sama pada tahun lalu.

“Kes penipuan yang mencatatkan penurunan bagi bulan Januari ini berbanding Januari 2018 adalah penipuan melalui talian dan SMS seperti ‘Macau Scam’ dan penipuan pinjaman wang tidak wujud iaitu masing-masing sebanyak enam kes.

“Selain itu, beberapa kes penipuan telah menunjukkan peningkatan iaitu ‘Love Scam’ (lima kes), penipuan pembelian menerusi internet (tujuh kes), penipuan pelaburan (satu kes) dan lain-lain kes (tujuh kes),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 22 suspek juga telah ditangkap sepanajng bulan Januari ini untuk siasatan lanjut bagi pelbagai kes jenayah komersil yang dilaporkan.

Katanya, bagi membendung jenayah penipuan ini, IPD Kluang juga komitd memberi pendedahan maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah berkenaan serta modus operandi yang sering digunakan sindiket.

“Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan juga nombor akaun bank sama ada pernah mempunyai rekod dengan pihak polis atau sebaliknya melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang urusan,” katanya.