X

Kindly register in order to view this article
!

Daging campur aduk, Maqis syak kegiatan pembungkusan semula di gudang

Sebuah gudang kartel daging sejuk beku di Puchong, Selangor diserbu pada Jumaat.
A
A

PUCHONG - [DIKEMASKINI] Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesyaki terdapat kegiatan pembungkusan semula daging beku di sebuah gudang kartel produk daging sejuk beku di Taman Perindustrian Puchong, di sini, pada Jumaat.

Maqis dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian berkata, penemuan awal mendapati dianggarkan dalam tiga kontena daging dipercayai diseludup disimpan di gudang sejuk beku di Puchong, Selangor.

Menurut Maqis, serbuan diketuai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.

"Hasil pemeriksaan dan maklumat awal yang dijalankan, sumber daging ditemui tersebut bercampur aduk dari abattoir (rumah penyembelihan) yang tidak diluluskan dengan yang diluluskan oleh kerajaan.

"Sehingga lewat malam, pihak PDRM dan Maqis bertungkus-lumus mengira kuantiti daging yang disita untuk ditempatkan di tempat tahanan Maqis," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, kes telah diserahkan kepada Maqis untuk siasatan di bawah Seksyen 11 dan 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan Seksyen 15(1) Akta yang sama.

Tambahnya, kerjasama strategik dan operasi bersepadu Maqis bersama agensi lain akan sentiasa diperkemaskan dan dipertingkatkan bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian terutamanya daging dapat diperkukuhkan.

"Maqis amat menghargai kerjasama yang dimainkan oleh rakan strategik seperti PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan lain-lain di dalam menangani isu penyeludupan seperti ini," katanya.

Pihak Maqis sangat komited dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!