Amanah yang tercalar

A
A
A

BERITA yang paling mengganggu fikiran orang ramai minggu ini tak lain dan tak bukan ialah kisah perbicaraan bekas pengerusi anak syarikat Majlis Amanah Rakyat atau Mara iaitu Mara Incorporated Sdn Bhd yang berhadapan dengan 22 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta membabitkan pembelian hartanah di Australia.

Datuk Mohammad Lan Illani, 65, mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.

Kes ini melibatkan cadangan Mara Incorporated untuk membeli bangunan di Melbourne, Australia bagi menempatkan penginapan pelajar tajaan Mara.

Alkisah, peristiwa ini berlaku antara tahun 2012 dan 2013.

Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pihak pendakwaraya mengambil tempoh yang agak lama iaitu tujuh tahun untuk mendakwa tertuduh. Belalang tidak tahu mengapa kes ini mengambil masa yang agak lama untuk diheret ke mahkamah.

Pada perkiraan Belalang ia sudah tentulah berkaitan dengan usaha untuk mengumpulkan bahan bukti dan yang paling kritikal ialah mendapatkan saksi pendakwaan.

Seorang kawan Belalang ada memberitahu, dalam kebanyakan kes rasuah, saksi pendakwaan adalah yang paling kritikal. Pertama, tidak ramai yang sanggup ke hadapan untuk menjadi saksi.

Artikel Berkaitan:

Kedua, saksi mestilah orang yang menyaksikan transaksi rasuah itu berlaku. Dan dalam kebanyakan kes, mereka juga adalah orang yang ada kaitan dengan kes. Jika tidak mereka tidak akan berada di tempat kes berlaku.

Ya, memang sukar untuk mendakwa perasuah. Ia sentiasa berlaku di belakang tabir dan di bawah kaunter. Jika tidak, tidak wujudlah istilah ‘bawah kaunter’.

Tapi apa yang menyedihkan ialah, kes terbaru ini melibatkan sebuah institusi yang dinamakan Majlis Amanah Rakyat.

Mara tercipta hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965 yang mendesak kerajaan membentuk sebuah institusi yang mengambil berat dan pertanggungjawaban membina siasah ekonomi dan pelajaran masyarakat Bumiputera secara serius dan berkesan.

Setahun kemudian iaitu pada 1 Mac 1966 Mara pun dilahirkan sebagai sebuah badan berkanun. Sejak itu Mara berkembang atas amanah yang diberikan sehingga memiliki aset bernilai berbilion ringgit.

Malah Belalang diberitahu yang rezab tunai Mara sahaja mencecah sehingga lebih RM1 bilion.

Beribu profesional Melayu telah dilahirkan oleh Mara termasuklah usahawan-usahawan yang berjaya. Ini semua terhasil daripada amanah yang digalas oleh para peneraju Mara sesuai dengan namanya iaitu Majlis Amanah Rakyat.

Tapi jelas sekali, kes yang melibatkan Mara Incorporated sedikit sebanyak telah mencalar bukan sahaja nama baik Mara tetapi mencacatkan nama ‘Amanah’ itu sendiri.

Apakah amanah yang diamanatkan sudah tergadai? Hanya masa dan mahkamah yang akan menentukannya.

* Belalang - Tidak mahu menjadi seperti pegar. Harap jaga padi tapi dimakannya padi sampai habis.

Bila semuanya sunyi sepi...

BELALANG tidak seperti orang lain. Jika hendak ke sana sini tidak memerlukan surat khas daripada MITI atau surat kebenaran majikan.

Bukan kerana Belalang ada kebenaran khas atau apa-apa keistimewaan. Tapi kerana Belalang ada sayap.

Teringat saja nak pergi mana, terus terbang sajalah. Tak perlu melalui sekatan jalan raya atau pemeriksaan polis.

Namun apa yang Belalang saksikan baru-baru ini di sebuah lapangan terbang antarabangsa sangat-sangat menyedihkan.

Suasananya bukan sahaja sunyi sepi malah boleh dikatakan tiada penumpang yang berlegar keluar-masuk ke terminal.

Rangkaian kedai semuanya tutup. Tidak ada restoran di dalam terminal yang beroperasi sepertimana biasa.

Ye lah, kalau buka sekali pun, siapa yang nak beli jika tiada penumpang keluar masuk.

Pesawat yang ada di pintu terminal pula berselimut. Ini menandakan apa? Ini menunjukkan pesawat tidak berlepas kerana tidak ada penumpang.

Betapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Kovic-19 mencengkam semua lapisan masyarakat dan aktiviti.

Perniagaan tutup, pesawat tidak berlepas dan mendarat, pergerakan terkawal malah teksi di tempat ketibaan pun yang selalunya berderet menanti penumpang kini tidak ada walau sebuah pun.

Itulah yang Belalang saksikan dengan mata kepala Belalang sendiri. Belalang melihat skrin perlepasan dan ketibaan pun Belalang terkejut.

Hanya ada dua penerbangan di sebelah pagi dan petang. Itu sahaja.

Bilakah malapetaka ini akan berakhir? Hanya Tuhan sahaja yang tahu...

* Belalang - Sentiasa mendoakan agar pandemik ini berakhir dengan segera agar kita semua dapat meneruskan kehidupan sepertimana sedia kala.