Nahas SUV: Pemandu Vios mengaku tak salah

Tertuduh didakwa memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bekas pendandan rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5, pada 20 Januari lalu.

K Vaithewaran, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa tamil di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Tertuduh didakwa memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, 20, di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada jam 3 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Yusaini Amir Abdul Karim manakala tertuduh diwakili peguam, S Parameswaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain tertuduh perlu lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia