Tiada apa yang nak dimalukan, kata Gadis Kerbau Pink

Nadia juga bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti jual beli ternakan. Foto Ihsan Nadia
Nadia juga bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti jual beli ternakan. Foto Ihsan Nadia
A
A
A

KUALA NERUS - Aksinya yang bersahaja dan tidak kekok bersama Awang iaitu seekor kerbau balar berwarna merah jambu beberapa tahun lalu pernah tular hinggakan Nadia Khairun Nisa Yusof, 19, digelar ‘Gadis Kerbau Pink’.

Tidak sebagaimana gadis lain, dia yang mesra dipanggil Nadia mengakui bidang penternakan sudah sebati dengannya, apatah lagi dia merupakan generasi keempat dalam keluarga yang bergelar penternak.

Gadis dari Kampung Gemuruh di Tepoh, Kuala Nerus ini berkata, walaupun pada mulanya ada yang agak skeptikal dengannya, namun lama-kelamaan masyarakat khususnya komuniti yang terlibat dalam bidang penternakan dapat menerimanya dengan baik.

Awang juga dibawa ke ekspo pertanian kerana keunikannya. Foto Ihsan Nadia
Awang juga dibawa ke ekspo pertanian kerana keunikannya. Foto Ihsan Nadia

“Jika dahulu tanggungjawab saya sekadar menjaga makan minum, memandikan ternakan dan membawa mereka keluar kandang. Sekarang ini saya juga bertanggungjawab untuk membeli dan menjual ternakan bukan sahaja dalam negeri, tetapi juga di luar Terengganu.

“Saya juga bawa ternakan untuk menyertai pameran dan pertandingan. Alhamdulillah, selain keluarga, mereka yang terlibat dalam bidang ini sudah terbiasa dan kenal saya. Jadi, tidak ada rasa kekok malah mereka juga bertukar-tukar pandangan dan nasihat dalam menjaga ternakan,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Menceritakan permulaannya berjinak-jinak dalam bidang penternakan, Nadia berkata, dia sering kali mengikuti ayahnya, Yusof Mohammad, 49, ke kandang sejak berusia lima tahun menyebabkan cintanya terhadap haiwan semakin bercambah.

Sehingga kini, dia dan keluarganya menternak 70 ekor kerbau, 60 ekor lembu, 17 ekor kambing dan 15 ekor rusa.

Artikel Berkaitan:

Nadia tidak kekok untuk membawa ternakannya keluar ke padang untuk meragut rumput. Foto Ihsan Nadia
Nadia tidak kekok untuk membawa ternakannya keluar ke padang untuk meragut rumput. Foto Ihsan Nadia

Ditanya tentang Awang, sambil tersenyum, Nadia berkata, kerbau balarnya itu bagaikan nyawanya.

“Saya bersama Awang sejak dia kecil lagi, sehinggalah usia Awang kini sudah lima tahun. Selain mudah untuk dibawa, Awang tidak kisah jika saya duduk di belakang dan menunggangnya. Malah, dia cukup suka dimanjakan.

“Awang juga ada bilik khas sendiri dan terpaksa dipisahkan dari kerbau lain. Selain sayang, saya bimbang jika ada kerbau jantan yang menyondolnya hingga membuatkan dia cedera,” katanya.

Katanya, dia ingin serius dalam bidang penternakan dan sudah menjadi hasratnya untuk membesarkan lagi kandang sedia ada supaya lebih maju dan melihat bidang penternakan ini sebagai kerjaya yang menyeronokkan serta menguntungkan.