Malaysia makin hilang daya saing

A
A
A

MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kata, ekonomi negara okey.

Betullah, kalau ekonomi negara hanya untuk sebahagian kecil penduduk seperti anggota Jemaah Menteri dan orang kaya.

Apa tidaknya, busuk-busuk pun gaji dan elaun menteri RM50,000 ke atas sebulan. Perdana Menteri dapat hampir RM105,000.

Ekonomi pun okey juga bagi golongan isi rumah T20 tapi sudah tak berapa okey bagi kategori M40, apatah lagi golongan terkebawah, B40.

Berbalik kepada Tengku Zafrul, tahun ini sahaja - baru lebih sikit sebulan - beliau sudah dua, tiga kali berkata ekonomi kita okey.

Pada 6 Januari, beliau berkata, ekonomi kita akan melonjak naik dengan pantas sebaik sahaja Covid-19 dikawal tetapi sejak beliau membuat kenyataan itu, penularan bukan semakin reda tetapi bertambah buruk.

Pada 21 Januari, beliau berkata, kerajaan mempunyai formula yang baik bagi mengawal Covid-19 dan merangsang pemulihan ekonomi.

Kemudian, pada 3 Februari, beliau berkata, Malaysia boleh mencapai matlamat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 6.5 dan 7.5 peratus tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Malangnya, kenyataan optimis beliau itu tidak disokong oleh petunjuk ekonomi yang positif.

Sebaliknya, banyak khabar mengenai ekonomi adalah tidak baik. Misalnya, bukan sahaja pelaburan terus asing (FDI) bagi tahun 2020 merudum 68 peratus, malah pelaburan asing di Bursa Malaysia pun jatuh juga terutama selepas perisytiharan darurat pada 12 Januari lalu.

Mengikut penganalisis pasaran kewangan, dalam minggu ketiga bulan lalu sahaja, pelabur asing menarik keluar modal bersih sebanyak RM535.5 juta berbanding RM288.4 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim dilaporkan berkata, pelabur antarabangsa memulakan dagangan minggu tersebut dengan menjual RM199.7 juta saham tempatan atas kebimbangan mengenai kelewatan memulakan suntikan vaksin Covid-19 di seluruh dunia.

Mereka bimbang kelewatan itu akan merencatkan pemulihan ekonomi global.

Indeks komposit Bursa Malaysia (KLCI) jatuh 3.7 peratus pada Januari yang merupakan kejatuhan indeks kedua paling teruk dalam kalangan indeks utama dunia.

Kejatuhan paling teruk dideritai oleh Bursa Filipina sebanyak 7.4 peratus.

Pengisytiharan darurat menjadi fakta utama mengapa pelabur menarik diri daripada Bursa Malaysia. Sebulan sebelum darurat diisytiharkan, indeks Bursa Malaysia bagi tempoh tiga bulan sebelum itu naik 3.88 peratus dan untuk tempoh setahun, ia naik 1.55 peratus.

Tengku Zafrul mungkin boleh menyedapkan hati beliau sendiri dan menggembirakan bosnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kenyataan yang optimis itu. Orang ramai yang tidak arif mengenai ekonomi dan kewangan tinggi pun mungkin percaya juga.

Namun, realitinya kita sedang dihempap teruk oleh suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu dan kehilangan kepercayaan pelabur akibat rampasan kuasa luar Parlimen setahun lalu serta pengisytiharan darurat.

Untuk memenuhi optimisme Tengku Zafrul itu, kita memerlukan suasana politik yang diyakini pelabur. Cakap-cakap sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Kita memerlukan permulaan baharu dalam bidang politik dan ekonomi. Langkah pertama adalah dengan memulihkan pemerintahan demokrasi dan memikirkan semula dasar ekonomi kita supaya kita boleh kembali bersaing di persada antarabangsa.

Sebagai contoh dan peringatan, sila hadam fakta berikut. Pada 1998, sebelum kita rasa kesan buruk Krisis Mata Wang Asia (1997/98), kita menduduki tempat ketiga selepas Thailand dan Indonesia dari segi saiz ekonomi mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar.

Namun, 22 tahun kemudian, pada tahun 2020, kita telah jatuh ke tempat keenam. Vietman, Filipina dan Singapura telah memotong kita.

Kesimpulannya, pemerintahan yang tidak demokratik, dasar ekonomi yang kurang daya saingan dan sikap sambil lewa rakyat jelata wajib ditukar segera jika Malaysia mahu kembali berlumba dengan negara-negara jiran. Jika tidak, bersedialah untuk menjadi negara gagal (failed state).

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara