Jalan buntu tiga parti Melayu?

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini tampak ada usaha untuk menggagalkan rancangan penyatuan politik Melayu Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jika sebelum ini tindakan segelintir pemimpin UMNO tampak ke arah menggagalkan kerjasama itu, Khamis lalu kita didedahkan pula dengan sikap tidak profesional Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri dikatakan telah mengurangkan peruntukan khas ahli Parlimen kerajaan bagi kawasan Parlimen Bagan Datuk yang diwakili oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, kawasan Parlimennya hanya mendapat peruntukan RM100,000 bagi tahun 2021, berbanding ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.

Dikatakan, selain beliau, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) turut menerima nasib yang sama.

Sehingga kini tiada penafian jelas dari Pejabat Perdana Menteri, maka kita bolehlah beranggapan kenyataan tersebut benar.

Keputusan itu sangat mudah difahami. Sebaik sahaja Mohamed Nazri dan Ahmad Jazlan menarik sokongan kepada Perdana Menteri, maka mereka dianggap ahli Parlimen pembangkang.

Demikian juga, Ahmad Zahid, Ahmad Maslan dan Najib yang telah secara tersirat menyatakan mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Secara logik, jika sudah menarik sokongan tentulah mereka tidak lagi diberi peruntukan sebagai ahli Parlimen kerajaan.

Tentulah Perdana Menteri berhak rasa marah dan kecewa kerana ia menyebabkan kerajaan hilang majoriti dan terpaksa memohon pengisyitiharan darurat bagi mengelak pilihan raya umum ketika Covid-19 sedang menggila.

Walaupun keputusan yang dibuat tidak sukar difahami, namun ia bukanlah jalan bijaksana menguruskan realiti politik Melayu Islam hari ini.

Ia bakal menyukarkan usaha memastikan UMNO, Pas dan Bersatu dapat bekerjasama pada PRU15. Hendak membina adalah sukar, hendak merosakkan apa yang dibina sangat mudah.

Demikianlah nasib kerajaan PN yang ditubuhkan telah runtuh sebelum sempat berlari. Persoalannya, apakah kita mampu mempertahankan semula kerajaan ini pada PRU15?

Tindakan terhadap Ahmad Zahid adalah semberono dan bersikap mencari permusuhan dengan UMNO. Ia hanya memberi ruang kepada pihak yang mahu melihat kerjasama itu hancur untuk meniup api kemarahan dan kebencian antara UMNO dan Bersatu.

Persoalannya, mengapa Muhyiddin sendiri memberi ruang meniupkan api menjadi marak? Apakah Muhyiddin sudah memilih jalan berkerat rotan, berpatah arang dengan UMNO?

Muhyiddin perlu fahami keadaan kerjasama itu bukan lagi isu dengan pemimpin UMNO tetapi juga dengan tiga juta ahli UMNO. Jika tindak-tanduk beliau tampak seperti menganiaya Presiden UMNO, maka jalan untuk kerjasama kian sukar dan malap.

Langkah tidak bijak itu juga tambah meyakinkan ahli UMNO di bawah yang tidak tahu pergolakan politik atasan bahawa Bersatu sedang membuli UMNO. Ia sekali gus meletakkan kumpulan UMNO yang menyokong kerjasama berada dalam keadaan tersepit.

Apakah ini cara Muhyiddin membalas jasa mereka yang bersama beliau mempertahankan kerajaan ini?

Bukan senang untuk memastikan kerjasama tiga parti Melayu dilaksanakan pada PRU15. Ia bertambah sukar dengan sikap pejabat Muhyiddin yang hanya mementingkan ego dan perasaan marah.

Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk memulihkan semula hubungan tersebut.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)