Pemilihan UMNO platform terbaik cabar jawatan presiden

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilihan UMNO akan datang merupakan platform terbaik dan paling sesuai untuk mencabar jawatan presiden parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah tersebut merupakan satu tradisi yang sudah lama diamalkan dalam parti tersebut berbanding mendesak presiden untuk berundur.

Menurutnya, parti berkenaan mengamalkan prinsip demokrasi dan pertandingan secara sihat dialu-alukan.

"UMNO parti keramat yang memiliki hierarki dalam pentadbirannya. Jadi sebarang perebutan jawatan harus dibuat ketika pemilihan parti.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang sebelum ini mendesak dan mencabar presiden untuk meletakkan jawatan, ini masanya untuk mereka tampil dan bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung penerbitan buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Sabtu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu kesemua jawatan dalam parti tersebut akan dibuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini termasuk jawatan presiden parti.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat untuk membuktikan beliau dan kepimpinan UMNO menerima serta mengamalkan proses demokrasi bagi pemilihan barisan pemimpin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan meletak jawatan tidak selesaikan masalah: Ahmad Zahid

Sebelum ini, terdapat beberapa Ketua Pemuda UMNO bahagian mendesaknya supaya berundur namun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan itu bukan budaya dan nilai parti tersebut.

Mohd Hairi berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Ahmad Zahid untuk mempertandingkan kesemua jawatan dalam parti secara terbuka.

"Kita akan menerima secara terbuka sebarang pencalonan dibuat mana-mana individu bagi merebut jawatan tertinggi parti.

"Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti yang menghormati sistem demokrasi, jadi mana-mana pihak yang tampil bertanding diharap turut menghormati prinsip berkenaan," katanya.