Rampasan kuasa Myanmar

A
A
A

KETIKA sedang menghadapi cabaran memerangi Covid-19, masyarakat antarabangsa dikejutkan dengan rampasan kuasa di Myanmar.

Namun, bagi sesiapa yang memahami dinamik politik dan kerajaan Myanmar tidak akan terkejut kerana Tatmadaw atau tentera Myanmar mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Perlembagaan 2008 Myanmar telah digubal oleh Tatmadaw demi menjaga kedudukan mereka dalam politik Myanmar.

Dilaporkan hubungan Aung San Suu Kyi dengan Ketua Panglima Tatmadaw, Jeneral Min Aung Hlaing telah merosot sejak tahun lalu. Keadaan bertambah serius apabila parti National League for Democracy (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi telah memperoleh kemenangan besar menewaskan parti Union Solidarity and Development Party (USDP) yang pro-tentera pada pilihan raya 8 November 2020.

Tatmadaw berpendapat kedudukan mereka semakin tergugat. Tatmadaw gagal memperoleh keyakinan daripada penduduk Myanmar berbanding NLD dan Aung San Suu Kyi secara demokrasi. Maka, tidak hairan Tatmadaw akan bertindak merampas kuasa.

Fenomena itu bukan sesuatu luar biasa di Myanmar kerana pada 1990, NLD juga telah memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya dan kerajaan Myanmar di bawah pengaruh Tatmadaw enggan menerima keputusan dan pemimpin NLD termasuk Aung San Suu Kyi telah ditangkap.

Pada tahun 2020, Tatmadaw telah menerima keputusan pilihan raya. Bagaimanapun, kali ini Tatmadaw mendakwa berlaku penipuan besar-besaran semasa pilihan raya. Menurut Tatmadaw, seramai 8.6 juta orang telah mengundi beberapa kali. Namun, dakwaan itu ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya Myanmar. Pemerhati pilihan raya dari dalam dan luar negara juga tidak setuju dan menurut mereka, tiada bukti kukuh berlakunya penipuan besar-besaran.

Ketua Panglima Tatmadaw menegaskan bahawa undang-undang mesti dipatuhi dan jika terdesak, perlembagaan boleh ditarik balik.

Pada penghujung Januari 2021, hubungan Aung San Suu Kyi dengan Tatmadaw semakin tegang. Ketika itu sudah ada petanda rampasan kuasa kemungkinan besar akan berlaku kerana pada sidang akhbar, Tatmadaw tidak menafikan kemungkinan rampasan kuasa demi memastikan peraturan diikuti.

Artikel Berkaitan:

Rampasan kuasa juga didorong oleh personaliti Min Aung Hliang. Beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Panglima sejak 2011 dan dijangka bersara pada Jun 2021.

Namun, dengan berlakunya rampasan kuasa, ada kemungkinan besar tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan.

Walaupun secara rasmi Tatmadaw telah mengeluarkan kenyataan perintah darurat akan dikuatkuasa selama setahun sehingga satu lagi pilihan raya baharu diadakan dan Tatmadaw akan menyerahkan kuasa kepada pihak yang menang. Bagaimanapun, tiada jaminan janji itu akan ditunaikan.

Berdasarkan pengalaman setelah rampasan kuasa berlaku pada 1988, Tatmadaw terus berkuasa selama dua dekad walaupun NLD telah memenangi pilihan raya 1990. Beliau kemungki-nan mahu menjadi sebahagian daripada ikon pemimpin Tatmadaw terdahulu seperti Jeneral Ni Win dan Jeneral Than Shwe.

Malah, melalui rampasan kuasa, kedudukan beliau telah dipertingkatkan lagi. Kini beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pentabiran Negeri yang berstatus sama seperti seorang presiden.

Rampasan kuasa telah mengakibatkan proses pendemokrasian di Myanmar yang telah bermula sedekad lalu terjejas.

Rakyat Myanmar baru sahaja memilih peminpin mereka secara demokrasi tetapi rampasan kuasa mengkhianati aspirasi mereka.

Lebih membimbangkan adalah nasib penduduk etnik minoriti di Myanmar seperti Rohingya, Karen, Kachin dan Shan. Penduduk Rohingya hidup tertindas di bawah pentadbiran Aung San Suu Kyi dan ia dijangka bertambah buruk di bawah pemerintahan tentera.

Tiada petanda menunjukkan Tatmadaw berminat meneruskan proses damai dengan kumpulan etnik minoriti dan mahu menerima semula penduduk Rohingya yang telah berhijrah ke Bangaldesh. Sejauh mana peduduk Myanmar, khasnya penyokong NLD akan terus bersabar dan membenarkan pemimpin pilihan mereka dikurung?

Buat masa ini tiada protes anti-kerajaan besar-besaran dilaporkan berlaku. Apa yang diharapkan pertumpahan darah tidak terjadi dan jalan penyelesaian antara pemimpin NLD dengan Tatmadaw dapat dicapai melalui cara damai.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya