PKPD di sekolah: Kerajaan Perak bantu sedia gajet, internet

Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik dikenakan PKPD selama 14 hari bermula Sabtu sehingga 19 Februari depan. - Foto Facebook Saarani Mohamad
Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik dikenakan PKPD selama 14 hari bermula Sabtu sehingga 19 Februari depan. - Foto Facebook Saarani Mohamad
A
A
A

GERIK - Kerajaan Perak telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 14 hari sehingga 19 Februari depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk pembelian televisyen, komputer riba dan bahan penyediaan modul bagi memudahkan guru dan pelajar menjalani proses pembelajaran secara dalam talian.

Menurutnya, daripada laporan diterima, pembelajaran secara dalam talian tidak dapat dilakukan di sekolah berkenaan kerana ketiadaan peranti dan kemudahan capaian internet yang lemah.

"Saya berkongsi kebimbangan guru dan pentadbir sekolah, saya juga faham tekanan yang dihadapi pelajar, lebih-lebih lagi mengenangkan suasana getir yang perlu dilalui dalam persediaan menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya diberitahu di sini peranti dan capaian internet tidak mencukupi dan (ketika ini) mereka terpaksa pula menelaah tanpa bantuan guru secara biasa, hanya berbekalkan nota dan modul yang diedarkan.

"Dalam taklimat tadi, saya sudah meluluskan peruntukan bagi pembelian televisyen, komputer riba, kemudahan WiFi serta pembelian bahan penyediaan modul bagi memudahkan mereka menjalani proses pembelajaran secara online," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Saarani (kanan) ketika meninjau pelaksanaan PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik pada Sabtu. - Foto Facebook Saarani Mohamad
Saarani (kanan) ketika meninjau pelaksanaan PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik pada Sabtu. - Foto Facebook Saarani Mohamad

Beliau yang berkesempatan meninjau pelaksanaan hari pertama PKPD di sekolah terbabit berkata, seramai 26 pelajar sekolah itu telah disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di asrama sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkembangan itu sedikit mengejutkan memandangkan beliau sendiri pernah menjadi tenaga pengajar di sekolah berkenaan sekitar tahun 1982 hingga 1985 yang mana antara pelajarnya termasuklah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

"Saya mohon semua pelajar bersabar dan selalu tabahkan hati. Patuhi apa jua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jangan hilang fokus. Guru-guru akan bantu. Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan juga akan bantu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, ketika ini terdapat beberapa sekolah di Parlimen Gerik berdepan beberapa masalah dalam menghadapi sesi pembelajaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerajaan negeri sedang meneliti keperluan yang sewajarnya untuk kita bantu anak-anak kita yang bakal duduki peperiksaan," katanya.

Kerajaan negeri beri jaminan bantuan dan kebajikan pelajar dijaga sepanjang menjalani tempoh PKPD.
Kerajaan negeri beri jaminan bantuan dan kebajikan pelajar dijaga sepanjang menjalani tempoh PKPD.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan PKPD dilaksanakan di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan secara bersasar selain bertujuan mengawal jangkitan dalam komuniti.

Sehingga 2 Februari lalu, KKM melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes positif Covid-19 direkodkan, manakala baki dua sampel menunggu keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD sekolah di Perak, dua kampung di Sarawak hingga 19 Februari