Pensyarah disyaki edar dadah ditahan

Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dengan tertangkapnya seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor.
Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dengan tertangkapnya seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dengan tertangkapnya seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor.

Suspek berjaya diberkas susulan penahanan seorang pemuda berusia 19 tahun di tepi jalan di Kuchai Maju pada Jumaat dengan nilai keseluruhan dadah serta wang tunai yang dirampas sebanyak RM9,480.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pemuda berkenaan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan berjaya merampas sepaket plastik dipercayai berisi dadah.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek mendapat bekalan dadah MDMA melalui laman 'dark web' manakala ganja pula dari seorang lelaki.

"Siasatan yang dijalankan berjaya membawa penahanan seorang lelaki berusia (31) tahun yang merupakan pensyarah di sebuah universiti di Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, susulan penahanan suspek pihak polis berjaya merampas beberapa jenis dadah.

"Antara yang dirampas adalah ganja seberat 1,380 gram, serbuk dadah jenis MDMA, 10 biji kapsul MDMA dan 19 keping LSD mengandungi 1,380 ug (mcg).

"Ujian saringan awal (urin) mendapati suspek berusia 19 tahun tersebut positif dadah jenis Cannabis (THC)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 500 orang pengguna dan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah selama tujuh bulan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan diperolehi," katanya.