KPDNHEP bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

Mohd Ridzuan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan minyak masak botol yang dibungkus semula oleh syarikat terbabit menggunakan minyak bersubsidi.
Mohd Ridzuan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan minyak masak botol yang dibungkus semula oleh syarikat terbabit menggunakan minyak bersubsidi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dilakukan oleh sebuah syarikat di Bukit Minyak di sini pada Sabtu.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan bermula jam 10 pagi itu turut merampas barang dagangan dianggarkan bernilai RM270,000 dan menahan seorang pekerja serta pemilik syarikat terbabit untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, syarikat pemborong minyak masak itu dipercayai menyalahgunakan minyak masak paket satu kilogram (kg) dengan memindahkan ke dalam bekas minyak masak berjenama lain.

"Kita dapati mereka memindahkan minyak bersubsidi ke dalam botol seberat 2kg serta 5kg dan harga untuk kedua-dua bungkusan itu bukan dalam kawalan.

"Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengaut keuntungan sekali ganda ke atas barangan bersubsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk rakyat," katanya ketika ditemui media di lokasi serbuan.

Mohd Ridzuan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menyita 7,771 plastik kosong minyak bersubsidi, 617 botol minyak masak selain menemui 420 bungkusan rempah ratus yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

Katanya, hasil siasatan mendapati syarikat terbabit telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan pihaknya percaya minyak masak itu dijual di pasaran kedai runcit di sekitar negeri ini.

"Perbuatan menyalahgunakan minyak masak bersubsidi ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh disiasat di bawah Seksyen 21.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa kebenaran mereka akan disiasat di bawah Perkara 4 (1) (a) Perintah Perihal (Perakuan dan Penandaan Halal) Dagangan 2011," katanya.

Menurutnya serbuan dilakukan dengan kerjasama pasukan polis selepas intipan dan risikan sejak dua bulan lalu.