Kantoi edar daun ketum

Polis berjaya menumpaskan pengedaran daun ketum selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di Bendang Sungai Kerang. Foto Ihsan PDRM
Polis berjaya menumpaskan pengedaran daun ketum selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di Bendang Sungai Kerang. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

PASIR SALAK - Niat empat lelaki untuk memperoleh keuntungan RM3,500 dengan memasarkan 340 kilogram daun ketum sekitar Lembah Klang, Selangor tidak kesampaian apabila dicekup polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, tangkapan dilakukan dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Bendang Sungai Kerang, Mukim Sungai Durian di sini kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut menjumpai 68 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum.

“Siasatan awal mendapati tiga suspek merupakan rakan sekampung bertindak sebagai tukang petik dan tukang bungkus.

“Manakala seorang lagi suspek yang berasal dari Batu Caves, Selangor merupakan pemandu lori membawa daun ketum itu dengan berselindung atas kapasiti lori pengangkutan barang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Barudin berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 27 tahun itu mengakui menjalankan kegiatan memetik, membungkus dan mengedarkan daun ketum yang belum diproses untuk dipasarkan ke Lembah Klang.

“Suspek mengambil peluang mengedarkan daun ketum yang belum diproses di kawasan kampung sekitar dan memperoleh tempahan daripada pembeli di sekitar Lembah Klang.

“Kegiatan ini disyaki berlaku sejak hujung tahun lalu dan kesemua tangkapan memperolehi keuntungan serta upah dengan nilai RM30 untuk setiap bungkusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Barudin berkata, suspek direman selama enam hari sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Polis kini dalam usaha mengesan rangkaian pembeli dan orang tengah bagi mengekang aktiviti pengedaran daun ketum dari terus menular masuk dan merekrut penduduk-penduduk kampung.

“Ada pihak cuba mengambil kesempatan memperoleh pendapatan segera terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai agar terus menyalurkan maklumat dalam membantu pihak polis dalam membanteras kegiatan ketum dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.