Annuar tak dapat jawab bertanding atau tidak pemilihan parti

Annuar (kanan) bersama ketua penduduk melihat hamper Tahun Baharu Cina yang diberikan kepada penghuni yang diraikan pada Sabtu.
Annuar (kanan) bersama ketua penduduk melihat hamper Tahun Baharu Cina yang diberikan kepada penghuni yang diraikan pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak memberi jawapan muktamad sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya pada pemilihan parti kerana UMNO masih belum memutuskan tarikh yang tepat untuk tujuan itu.

"Saya tak boleh nak jawab (bertanding atau tidak) kerana UMNO belum muktamadkan tarikh pemilihan.

"Cuma saya nak ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana berdasarkan pengumuman dalam wawancara terbaru mereka bersetuju menunaikan apa yang terdapat dalam perlembagaan parti dan akan menyerahkan semula kepada ahli-ahli parti untuk membuat pemilihan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan hamper Tahun Baharu Cina kepada wakil ketua penduduk di Taman Puspa di Kok Lanas pada Sabtu.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu berharap pemilihan parti perlu diadakan segera bagi menyelesaikan keretakan dan kemelut dalaman parti.

Annuar berkata, ketidaktentuan yang dihadapi parti buat masa ini tidak boleh dibiarkan berterusan walaupun tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 belum dapat disahkan lagi.

Menurutnya, dengan mengambil kira keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan semua jawatan dalam UMNO termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti itu seharusnya dipercepatkan.

"Saya fikir itu harus dialu-alukan dan saya harap tidak timbul lagi polemik letak jawatan dan sebagainya yang tidak elok. Saya fikir kita kena semarakkan semula semangat parti dengan menghormati perlembagaan dan juga amalan demokrasi dalam parti.

"Cuma saya harap pemilihan itu disegerakan sebab kita tidak boleh berada dalam keadaan ketidaktentuan, kalau tiba-tiba datang pilihan raya, we are not prepared. Jadi cara terbaik kita kena settle down cepat.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, Ahmad Zahid dalam satu temu bual berkata, beliau mahu menterjemahkan bahawa dirinya dan parti terus mengamalkan demokrasi dalam pemilihan kepimpinan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuatkuasa.

Mengulas lanjut perkara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, secara lazimnya pada Mac dan beliau yakin bahawa pucuk pimpinan bijak mengurus atau menyelesaikan masalah berkaitan pemilihan parti itu.

"Jadi cara yang terbaik lazimnya pada Mac hingga April cawangan perlu mengadakan mesyuarat agung mereka dan kemudian pada Jun bahagian boleh mengadakan persidangan perwakilan.

"Dalam sistem UMNO sekarang pemilihan boleh berlaku sewaktu bahagian bersidang. Tak semestinya nak tunggu perhimpunan agung," katanya.

Pada 5 Januari lalu Annuar dipecat sebagai sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta merta.