X

Kindly register in order to view this article
!

MP pembangkang tak patut tuntut peruntukan sama rata, kata Noh

Noh meninjau persiapan pengagihan bantuan di Pusat Pengagihan Bantuan di Bagan Tengkorak pada Sabtu.
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen pembangkang tidak sepatunya menuntut peruntukan sama rata seperti mana diterima ahli Parlimen kerajaan kerana dasar itu turut dipraktikkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, semasa pemerintahan PH dahulu ahli Parlimen pembangkang juga tidak menerima peruntukan sama banyak dengan ahli Parlimen kerajaan.

"Semasa PH memerintah dulu, saya selaku ahli Parlimen pembangkang hanya terima peruntukan sebanyak RM100,000 dan sekarang ini difahamkan mereka (ahli Parlimen pembangkang) tetap menerima jumlah peruntukan sama.

"Apa yang berlaku ini adil dan PH kena ingat semasa mereka berkuasa dulu inilah yang dilakukan mereka (peruntukan ahli Parlimen pembangkang dikurangkan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf di Pusat Pengagihan Bantuan di Bagan Tengkorak di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, ahli Parlimen pembangkang seharusnya berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

"Misalnya saya di Tanjong Karang dahulu kekurangan peruntukan, tetapi program dan bantuan kepada rakyat tetap berjalan seperti biasa.

"Janganlah apabila ada kuasa tak mahu buat, tapi apabila hilang kuasa baru hendak buat (peruntukan sama rata semua ahli Parlimen)," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seramai 32 ahli Parlimen pembangkang menuntut peruntukan sama rata diberikan kepada semua ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang bagi membantu rakyat susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama, ahli Parlimen pembangkang terbabit berkata, ini sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pengisytiharan darurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Parlimen pembangkang tuntut peruntukan bantu rakyat

Mengulas mengenai program bantuan kepada asnaf, Noh berkata, program bantuan bernilai kira-kira RM150,000 itu merupakan siri keempat sumbangan yang telah diberikan kepada penduduk di Parlimen itu sebelum ini.

Katanya, seramai 3,000 asnaf menerima sumbangan barangan keperluan itu yang disampaikan secara terus ke rumah penduduk.

"Senarai penerima ini kita peroleh dengan kerjasama 27 nazir masjid yang mendapatkan maklumat asnaf ini dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak di Parlimen Tanjong Karang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!