Suami isteri orang asli hilangkan diri ketika saringan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan sedang mengesan pasangan suami isteri orang asli yang bertindak menghilangkan diri ketika ujian saringan Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, Khamis lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ujian saringan itu sepatutnya dilakukan ke atas wanita berusia 33 tahun dan suaminya (umur tidak diketahui) selepas bayi perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, laporan diterima daripada seorang jururawat di HSIP pada 9.30 malam, Khamis lepas selepas mendapati pasangan itu tiada di hospital ketika ujian saringan hendak dilakukan ke atas mereka.

"Pengadu telah diberitahu oleh kakitangan yang bertugas di wad kecemasan yang memberitahu ibu kepada pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) telah menghilangkan diri.

"Pihak hospital juga memberitahu sudah mencari pasangan yang beralamat di Pos Tohoi, Gua Musang itu di kawasan hospital tetapi gagal ditemui serta tidak dapat dihubungi," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, polis percaya pasangan itu kemungkinan takut untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan berhubung penyakit berjangkit yang berbahaya kepada nyawa).

"Susulan kejadian ini polis Kelantan sudah menggerakkan kesemua anggota kereta peronda polis (MPV), anggota Balai Polis Kuala Krai, detektif dan pasukan petugas untuk mengesan suspek untuk menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai lawatannya di Pasar Siti Khadijah, Shafien berkata, tahap pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pengunjung semakin baik, malah peniaga juga sentiasa mengingatkan pengunjung supaya mengamalkan penjarakan fizikal.

"Mulai hari ini, polis menjalankan pemantauan di 46 pasar besar dan pasar harian di 10 daerah di Kelantan dan sekiranya kita mendapati masih ada peniaga atau pengunjung yang gagal mematuhi SOP, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta.

“Fasa sekarang bukan lagi tempoh mendidik. Polis atau lain-lain agensi akan terus kompaun sekiranya gagal patuh SOP," katanya menambah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas, hampir 3,000 kompaun telah dikeluarkan oleh polis dan lain-lain agensi di Kelantan. - Bernama