X

Kindly register in order to view this article
!

Najib akan failkan saman fitnah terhadap Tommy Thomas, penerbit

Najib akan memfailkan saman terhadap Tommy Thomas berhubung dakwaan kenyataan fitnah di dalam buku yang diterbitkan baru-baru ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan kenyataan fitnah di dalam buku yang diterbitkan baru-baru, My Story: Justice in the Wilderness yang mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu disahkan oleh peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi Bernama.

“Ya, kami akan menyaman beliau bagi pihak anak guam kami. Semalam, Thomas telah memberi jawapan kepada surat tuntutan (LOD) kami .... beliau menyangkal memfitnah anak guam kami.

“Penerbitnya, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd belum menjawab LOD kami. Kami akan mengemukakan saman fitnah terhadap Thomas dan penerbit secepat mungkin," kata Muhammad Shafee.

Pada 2 Februari lepas, Najib melalui peguamnya, Shafee & Co, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas kerana mendakwa telah memfitnah beliau di dalam buku yang ditulis bekas peguam negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tuntut RM10 juta dan permohonan maaf daripada Tommy

Dalam surat itu, Najib menuntut jawapan yang memuaskan daripada Thomas sebelum jam 12 tengah hari Jumaat dan menyatakan bahawa sekiranya Thomas gagal melakukannya, prosiding undang-undang akan dimulakan awal minggu depan.

Beliau juga menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah di dalam bab 42 di bawah tajuk 'Altantuya'.

Dokumen itu turut menyebut bahawa dengan inferens dan sindiran yang jelas, Thomas telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai AG dan Pendakwa Raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.

Surat itu juga menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah jelas bermotifkan mala fide (niat jahat) dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan diri Thomas dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya, sensationalisme dan keuntungan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!