Penjawat awam rugi RM70,000 diugut 'ACP Dato'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam lelaki kerugian hampir RM70,000 selepas terpedaya dengan ugutan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner bergelar ‘Datuk’.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada Rabu lepas apabila mangsa berusia 40-an itu menyedari wang di dalam akaunnya lesap selepas membuat pemeriksaan akaun pada hujung Januari lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kejadian berlaku pada penghujung 2020 apabila mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM38,600 melibatkan sebuah syarikat milik mangsa di Kuantan, Pahang.

"Dalam kes ini, mangsa menafikan memiliki sebarang syarikat perniagaan dan panggilan telefon telah disambungkan kepada seorang ‘anggota polis’ yang memperkenalkan diri dengan nama ‘Sarjan Ridzuan’.

“Setelah semakan nombor kad pengenalan mangsa dibuat, suspek memaklumkan bahawa mangsa turut mempunyai rekod kes berkaitan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafien berkata, panggilan telefon kemudiannya telah disambungkan kepada dua ‘pegawai kanan polis’ yang memperkenalkan diri dengan nama ‘Inspektor Fariezan’ dan ‘ACP Dato’ Wazir’ yang mengarahkan mangsa mengumpulkan wang sebanyak mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Mangsa telah mengikut segala arahan yang diberikan suspek antaranya memuat turun satu aplikasi palsu yang menggunakan ikon mirip MyBNM, untuk mengisi butiran akaun-akaun bank yang dimiliki termasuk nombor TAC yang diterima mangsa kononnya bagi tujuan siasatan.

“Bagaimanapun, pada 31 Januari lepas mangsa telah membuat semakan ke atas akaun-akaun bank miliknya mendapati wang berjumlah hampir RM70,000 telah dipindahkan suspek tanpa pengetahuan mangsa ke akaun-akaun bank milik pihak ketiga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafien berkata, menyedari dirinya sudah tertipu mangsa terus membuat laporan polis ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Dalam pada itu, Shafien berkata, sejak awal Januari hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan telah menerima dan menjalankan siasatan ke atas 15 laporan polis berkenaan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM300,000.

Menurutnya, dalam kesemua kes ini, mangsa akan menerima panggilan terlebih dahulu daripada pegawai LHDN atau pegawai pejabat pos laju sebelum disambungkan kepada pegawai polis termasuk dua kes melibatkan suspek menyamar sebagai pegawai kanan polis dengan pangkat dan panggilan ‘ACP Dato’. - Bernama