'Ramalan Tun M hubungan UMNO, Pas, Bersatu rapuh tak tepat'

Annuar (dua dari kanan) menyerahkan hamper Tahun Baharu Cina kepada wakil ketua penduduk di Kok Lanas pada Sabtu.
Annuar (dua dari kanan) menyerahkan hamper Tahun Baharu Cina kepada wakil ketua penduduk di Kok Lanas pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap hubungan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) rapuh dan bakal terurai pada pilihan raya nanti.

Annuar berkata, sesiapa sahaja boleh membuat ramalan itu namun hakikatnya ia tidak seperti yang dicanangkan.

Menurutnya, untuk membentuk satu pasukan politik dan kerjasama baharu termasuk antara UMNO, Pas dan Bersatu tidak dapat dinafikan terdapat perkara tertentu yang perlu dirunding dan diperkemaskan.

"Saya percaya usaha itu masih diteruskan. Ini usaha yang dilakukan ketika saya menjadi Setiausaha Agung UMNO lagi. Usaha untuk membentuk satu gabungan yang kuat yang dimulakan dengan Muafakat Nasional, UMNO dan Pas.

"Kemudian kita bersetuju menjemput Bersatu supaya gabungan itu menjadi lebih kuat. Kita juga bersetuju secara dasarnya untuk gabungan UMNO, Pas dan Bersatu Semenanjung diiperluas kepada konsep GPS dan GRS di Sabah.

"Jadi ramalan Tun M yang menyatakan gabungan itu rapuh pada saya tidak berapa tepat kerana antara UMNO dan Pas itu boleh dikatakan terbentuk satu persefahaman yang agak jitu, ini berdasarkan pengalaman saya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan hamper Tahun Baharu Cina kepada wakil ketua penduduk di Taman Puspa di Kok Lanas.

Pada Sabtu, bekas Perdana Menteri itu menyuarakan pandangan menerusi wawancara bersama sebuah portal, mendakwa hubungan di antara tiga parti berkenaan bakal terurai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain yakin kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan bertahan berdasarkan sejarah hubungan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menjelas lanjut perkara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh yakin perselisihan pendapat dan perkara yang keruh antara UMNO dan Bersatu itu dapat diuruskan serta dijernihkan dengan baik oleh pimpinan yang ada.

"Paling penting UMNO perlu mendapat satu formula satu strategi untuk memenangi pilihan raya. Jadi saya yakin UMNO akan selesaikan masalah ini. Jadi tak timbul Tun Mahathir kata perkara itu rapuh," katanya.