X

Kindly register in order to view this article
!

'Negeri lain boleh, kenapa Perak tidak boleh?'

Mohd Hafizee menunjukkan surat kebenaran operasi MITI.
A
A

IPOH - Pengusaha kedai aksesori filem penapis haba kenderaan di Perak kecewa apabila tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Difahamkan, penguatkuasaan penutupan operasi hanya dilaksanakan di negeri itu walaupun model perniagaan kedai berkenaan termaktub di bawah automotif yang dibenarkan beroperasi.

Pengusaha, Mohd Hafizee Mohd Arop berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan perniagaan ditutup walaupun mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, lebih mengecewakan perkara itu hanya berlaku di Perak berbanding di negeri lain.

"Kenapa kami tidak dibenarkan beroperasi sedangkan tiada langsung dalam senarai perniagaan tidak dibenarkan. Pusat cuci kereta dan lain-lain sudah dibenarkan beroperasi kerana tiada kluster, kedai aksesori filem penapis haba juga tiada kluster dan tidak membabitkan aktiviti berkumpul.

"Kami hanya menjalankan pemasangan pada setiap kenderaan yang hanya membuat temujanji dan pelanggan juga meninggalkan kenderaan sepanjang proses pemasangan. Kedai kami mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Mohd Hafizee berkata, tindakan dijalankan di negeri ini akan menyebabkan pengusaha gulung tikar.

"Sudah pasti akan menyebabkan pekerja diberhentikan berikutan tidak mampu menanggung kos termasuk sewa kedai dan lain-lain.

"Kami berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membenarkan kedai ini beroperasi seperti di negeri lain dan bersedia mengikut syarat ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman ketika dihubungi meminta pengusaha kedai merujuk masalah itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!