Setahun 'berperang' Covid-19 tapi masih ada peniaga ingkar SOP

Ab Rashid mendengar alasan yang diberikan oleh seorang pemilik sebuah premis di Chabang Empat, Tumpat yang dikompaun selepas gagal mematuhi SOP sebagaimana ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Ab Rashid mendengar alasan yang diberikan oleh seorang pemilik sebuah premis di Chabang Empat, Tumpat yang dikompaun selepas gagal mematuhi SOP sebagaimana ditetapkan oleh pihak kerajaan.
A
A
A

TUMPAT - Walaupun hampir setahun 'berperang' dengan pandemik Covid-19, namun masih wujud segelintir peniaga di jajahan ini mengambil mudah aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila gagal menyediakan alat penyukat suhu, buku rekod kehadiran pelanggan dan kod QR imbasan aplikasi Mysejahtera.

Ekoran itu, pemilik sebuah premis di Chabang Empat di sini telah dikompaun selepas gagal mematuhi SOP sebagaimana ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Pemilik premis itu dikompaun dalam Ops Bersepadu Pematuhan SOP yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Pejabat Kesihatan Tumpat, Majlis Daerah Tumpat dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir pemilik premis yang mengambil mudah perkara tersebut.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuklah individu yang gagal mematuhi SOP.

"Kita masih belum menang melawan Covid-19, jadi patuhilah SOP dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu," katanya ketika turun padang meninjau Ops Bersepadu Pematuhan SOP di sekitar Tumpat pada Sabtu.

Menurutnya, sepanjang Covid-19 menyerang negara ini sejak Mac tahun lalu hingga kini, IPD Tumpat telah mengeluarkan lebih 80 kompaun kepada individu yang melanggar SOP.

Beliau berkata, majoriti pelanggaran SOP melibatkan kegagalan memakai pelitup separuh muka.

Artikel Berkaitan:

Ab Rashid berkata, menerusi operasi itu pihaknya mendapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat semakin baik.

Katanya, pemantauan berterusan menerusi rondaan berkala ke kawasan-kawasan kampung turut dilakukan bagi memastikan SOP dipatuhi.