X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga ahli sindiket Macau Scam diberkas

Kenderaan mewah yang dirampas AMLA untuk siasatan lanjut berkenaan kegiatan haram sindiket penipuan Macau Scam.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga warga tempatan di Petaling Jaya, Selangor, susulan tangkapan lelaki warga Taiwan yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan antarabangsa Macau Scam baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, penahanan warga tempatan termasuk seorang wanita itu dibuat pada Jumaat dan awal pagi Sabtu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menurutnya, polis percaya tiga suspek ini berperanan membantu suspek warga Taiwan terbabit melakukan kesalahan pengubahan wang haram di negara ini.

"Tindakan undang-undang telah diambil dengan membekukan akaun bank bernilai kira-kira RM1 juta, dua buah kenderaan mewah serta beberapa harta lain termasuk hartanah.

"Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an itu direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Kami akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan membantu dalam apa juga aktiviti jenayah berat yang tersenarai dalam AMLATFPUAA 2001

"Diingatkan jangan sesekali terlibat kerana hukuman dan tindakan yang bakal dikenakan adalah berat," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki dalang sindiket penipuan antarabangsa Macau Scam ditahan di sebuah kondominium di Ampang Putra, Ampang pada 25 Januari.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam serbuan bersama pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta polis antarabangsa (INTERPOL) pada jam 8.20 malam.

Suspek diburu polis Taiwan sejak 25 Disember 2014 selepas dikesan terbabit dalam kes penipuan Macau Scam yang menyasarkan mangsa di China.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!