KWP bakal bina 12,000 unit kediaman di Putrajaya

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina 12,000 unit rumah di bawah program Residensi Prihatin yang berharga bawah RM200,000 di Putrajaya.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek yang memakan masa pembinaan sehingga 30 bulan itu akan dilancarkan sepenuhnya pada 22 Februari ini melibatkan sembilan lokasi di Putrajaya, Kuala Lumpur serta Labuan.

Menurutnya, lima projek itu adalah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dijenamakan semula di bawah Residensi Prihatin dengan membabitkan kira-kira 8,000 unit kediaman bakal dibina.

“Sebelum ini, sebahagian daripada projek tersebut tergendala, namun dengan persetujuan Kabinet, kita telah mengubahsuai projek-projek tersebut kepada program Residensi Prihatin.

“Sementara empat projek lagi melibatkan 4,000 unit rumah pula akan dibuat secara permohonan cadangan (RFP) untuk pemaju dipilih secara terbuka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Tahun Baharu Cina di Taman Puspa, Kok Lanas pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehari selepas pelancaran pembinaan, permohonan untuk pembelian akan dibuka menerusi portal KWP.

“Keutamaan akan diberikan kepada penjawat awam dan pembeli-pembeli yang terdiri dari kumpulan keluarga muda,” katanya.

Annuar berkata, projek tersebut diyakini mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan ia didirikan di kawasan strategik antaranya di Presint 7 dan 9.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga optimis kediaman tiga bilik tersebut dapat memenuhi citarasa pembeli dan ia akan memberi kelegaan kepada pemohon yang sebelum ini berdepan masalah untuk memiliki kediaman yang berharga RM300,000 melalui Program Rumah Wilayah yang dibuka sebelum ini.