Warga emas diajak solat jemaah sebelum ditinggalkan di surau

Warga emas uzur yang ditinggalkan ahli keluarganya di sebuah surau di Klang. - Foto FB LZS
Warga emas uzur yang ditinggalkan ahli keluarganya di sebuah surau di Klang. - Foto FB LZS
A
A
A

SUBANG JAYA - Pujukan ahli keluarga mengajak seorang warga emas keluar rumah kononnya untuk solat berjemaah rupanya helah bagi meninggalkan lelaki berkenaan di sebuah surau di Klang.

Perkara itu dibongkarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang segera bergegas ke surau berkenaan selepas menerima maklumat mengenai warga emas yang dilaporkan tidur di surau berkenaan.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, LZS memaklumkan warga emas lelaki terbabit ditemui dalam keadaan lapar, keletihan dan mengalami sakit kaki akibat jangkitan kuman.

“Sejurus mendapat maklumat mengenai seorang warga emas tidur di salah sebuah surau, kami bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19 buat masa ini.

“Tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat-tempat awam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, warga emas berkenaan memaklumkan dia tidak mempunyai zuriat kerana belum pernah berkahwin.

Sebelum ini, warga emas berkenaan dijaga oleh anak saudaranya namun sejak kesihatannya semakin merosot ditambah dengan suasana tidak menentu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ahli keluarga yang menjaganya meninggalkannya di surau tersebut.

“Pilu hati kami ketika beliau berkongsi cerita bagaimana beliau telah ditinggalkan di sebuah surau. Peringkat awal beliau tidak menjangkakan beliau akan diperlakukan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Pujukan ahli keluarganya mengajak beliau ke surau tersebut untuk berjemaah, rupanya adalah perancangan untuk meninggalkan beliau di surau berkenaan. Pakaian juga telah siap diletakkan di dalam beg untuk bekalan beliau,” katanya.

LZS memaklumkan, warga emas berkenaan kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Dengkil.

“Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Dengkil dan LZS akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau.

“ Terima kasih kepada pengeluar zakat. Kami cuba sedaya upaya untuk salurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” katanya.