Makmal dadah di kilang terbongkar selepas terbakar

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar makmal pemprosesan dadah serta pelbagai jenis rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Sabtu. - Foto Bernama
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar makmal pemprosesan dadah serta pelbagai jenis rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Polis Johor berjaya membongkar makmal memproses dadah bernilai RM5.06 juta di sebuah bangunan kilang tiga tingkat di kawasan perindustrian Desa Cemerlang selepas premis itu terbakar pada Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kebakaran kilang pelupusan barang- barang terpakai itu berlaku kira-kira jam 9.40 malam sebelum polis dimaklumkan tentang kejadian berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan enam lelaki berusia 34 hingga 48 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan di sekitar Johor Bahru kira- kira jam 12 tengah malam pada hari yang sama.

"Modus operandi sindiket ini ialah menyewa premis kilang untuk dijadikan makmal memproses dadah. Makmal haram ini baru beroperasi sejak sebulan lalu.

"Sindiket ini menyewa kilang itu pada kadar RM9,000 sebulan. Kawasan perindustrian kilang terbabit juga didapati lengang dan tidak banyak yang beroperasi sekal igus memudahkan mereka menjalankan kegiatan haram itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor pada Sabtu.

Menurut Ayob Khan, polis merampas 30 kilogram ketamin, 100 liter cecair dan dua kilogram serbuk disyaki dadah serta peralatan makmal untuk memperoses dadah.

"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 660,000 penagih.

"Selain itu polis juga telah menyita enam buah kereta, sebuah motosikal, dua utas jam tangan, 15 jenis pelbagai barangan kemas dan lima akaun bank, wang tunai RM6,400. Jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM1.34 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai lima suspek yang ditahan, katanya saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka negatif dan kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta salah seorang daripada mereka dipercayai ahli kongsi gelap Geng 21.

"Kesemua suspek telah disambung direman selama dua hari sehingga Ahad untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita masih mengesan lima lagi suspek terdiri daripada empat lelaki dan wanita tempatan berusia 33 hingga 46 tahun dipercayai ahli perniagaan. Alamat terakhir mereka ini dipercayai berada di Ulu Tiram dan Masai Johor," katanya.