Penamatan PSU tidak tingkatkan kadar pemberhentian kerja

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, dapatan itu diperoleh menerusi hasil tinjauan Perkeso pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, tinjauan yang dijalankan secara dalam talian oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), meliputi 469 syarikat yang menerima PSU.

“Hasil tinjauan mendapati hanya 15 peratus daripada responden merancang untuk mengurangkan pekerja mereka, sementara 29 peratus pula bercadang meningkatkan jumlah pekerja.

“Lebih separuh atau 56 peratus pula cenderung untuk mengekalkan pekerja yang sedia ada. Jadi berdasarkan penemuan ini, dapat dirumuskan bahawa penamatan PSU dijangka tidak akan meningkatkan kadar pemberhentian pekerjaan dan pengangguran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tinjauan dijalankan bermula pada 30 Oktober tahun lalu dan berakhir pada 22 November lalu itu bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan dan turut diperincikan oleh EU-ERA dalam Laporan The Day After Tomorrow: Estimating the Impacts of Ending Temporary Wage Subsidy Programme.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan mendapat manfaat daripada program PSU yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, hasi tinjauan itu juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat syarikat dalam beberapa sektor yang menunjukkan pemulihan selepas kerajaan membuka semula aktiviti ekonomi sejak Jun tahun lalu dan disokong dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi.

“Begitupun, masih terdapat syarikat di sektor seperti pelancongan yang masih memerlukan bantuan PSU kerana pemulihan di sektor berkenaan dijangka akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya.

Bagaimanapun Mohammed Azman berkata, tinjauan itu tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang bermula 14 Oktober tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu.

“Ini kerana PKPB dan PKP dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya berpotensi memberi kesan kepada pekerjaan.

“Justeru, Perkeso menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di negara ini,” katanya.