Program Pencahayaan Wilayah DBKL sia-sia, membazir: Lip Eng

Program Pencahayaan Wilayah anjuran DBKL bersempena Hari Wilayah disifatkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sebagai perbuatan sia-sia dan membazir. -Foto FB DBKL
Program Pencahayaan Wilayah anjuran DBKL bersempena Hari Wilayah disifatkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sebagai perbuatan sia-sia dan membazir. -Foto FB DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Pencahayaan Wilayah dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Hari Wilayah disifatkan sebagai perbuatan sia-sia dan membazir, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Lip Eng turut mempersoalkan rasional kawasan kota raya itu bermandikan cahaya selama sebulan walaupun tiada orang melawat kawasan terbabit ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sempadan negara ditutup sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu. Sekiranya program ini diadakan untuk menarik minat pelancong asing, namun tiada pelancong yang dibenarkan untuk melawat Malaysia pada waktu ini.

“Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pihak DBKL? Tiada sebab untuk orang ramai melawat kota raya pada waktu malam ketika tempoh PKP,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Lip Eng berkata, kebanyakan premis ditutup dan hanya perniagaan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi malah orang ramai turut disarankan untuk duduk di rumah,

“Di waktu banyak perayaan-perayaan besar di negara ini, kita tidak disambut secara besar-besaran, mengapakah program ini pula berlangsung sebegitu lamanya?

“Berapakah anggaran perbelanjaan yang telah diguna pakai untuk menjalankan program ini?,” soalnya.

Mengulas lanjut, Lip Eng berkata, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan simpanan tetap milik DBKL yang boleh diguna pakai untuk mencipta sebuah pelan kebajikan sama seperti kerajaan Selangor ketika pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau menyarankan DBKL membelikan dos vaksin bagi petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur yang sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

“Pihak DBKL seharusnya mengutamakan perkara tersebut daripada Program Pencahayaan Wilayah yang merupakan perkhidmatan tidak perlu (non-essential service).

“Program ini dilihat sebagai usaha sia-sia dan tidak peka dengan realiti sekeliling,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan program pencahayaan di bangunan sama ada milik kerajaan ataupun persendirian menjadi antara aktiviti utama sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang di sambut 1 Februari lalu.

Menerusi program itu aktiviti pencahayaan diadakan di bangunan kerajaan dan swasta selain premis perniagaan dan taman awam dengan menyalakan lampu antara jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam sepanjang Februari.