Pengusaha butik pakaian harap kerajaan prihatin

Mohd Nor Nizam melihat stok pakaian yang tidak terjual berikutan penutupan sektor ekonomi melibatkan butik pakaian dalam tempoh PKP.
Mohd Nor Nizam melihat stok pakaian yang tidak terjual berikutan penutupan sektor ekonomi melibatkan butik pakaian dalam tempoh PKP.
A
A
A

IPOH - Pengusaha butik pakaian sedia mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat asalkan premis mereka boleh dibuka semula dalam tempoh lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi pemilik butik pakaian, Mohd Nor Nizam Baharudin, 37, berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kepentingan untuk melanjutkan tempoh PKP bagi membendung penularan Covid-19 namun ia memberi kesan yang amat ketara kepada sebahagian besar usahawan dalam sektor pakaian.

Katanya, sekiranya kerajaan membenarkan ruang ekonomi dibuka untuk membantu rakyat ia perlu dilaksanakan secara adil terutama kepada semua usahawan.

“Misalnya, saya yang terlibat dalam sektor peruncitan butik pakaian. Saya melihat pelaksanaan PKP daripada sudut positif yang mana langkah tersebut merupakan salah satu cara untuk memerangi penularan Covid-19. Pun begitu, dari segi sektor ekonomi nampaknya tidak adil berikutan ada perniagaan dibenarkan beroperasi manakala sebahagiannya pula tidak.

“Sebagai contoh mengapa ada kedai atau premis yang bukan 'essential' boleh dibuka? Sedangkan butik pakaian perlu dihentikan operasi sepanjang PKP. Jika pihak kerajaan ingin memastikan ekonomi negara berjalan lancar, sewajarnya mempertimbangkan untuk membenarkan bisnes pakaian turut beroperasi seperti perniagaan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, sektor peruncitan butik pakaian juga membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara malah dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus usahawan di Malaysia mengusahakan bisnes fesyen.

Mohd Nor Nizam berkata, jika bisnes fesyen berlarutan ditutup ia akan menjejaskan pendapatan pengusaha khususnya yang perlu membayar sewa butik, gaji pekerja dan bil utiliti.

“Saya bersetuju sekiranya kerajaan membenarkan butik pakaian dibuka, tetapi mengehadkan lima pelanggan sahaja berada di dalam premis untuk satu masa. Sekurang-kurangnya kami dapat bernafas dan mempertahankan perniagaan diusahakan.

Artikel Berkaitan:

“Jika ingin memastikan ekonomi negara tidak terjejas, maka kerajaan perlu membenarkan semua perniagaan beroperasi dengan syarat mengikut SOP yang ketat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha butik pakaian, Azmi Abdul Malik, 46, berkata, sektor tersebut memang ada keperluan untuk dibuka memandangkan 80 peratus pelanggan membeli di kedai berbanding secara dalam talian.

Katanya, kebanyakan pelanggan membeli secara dalam talian untuk pakaian yang mempunyai saiz standard seperti tudung, kasut dan topi.

Namun menurutnya, untuk pakaian yang pelbagai jenama, potongan dan bahan yang berbeza, majoriti daripada pelanggan lebih gemar melihat sendiri pakaian tersebut berbanding secara dalam talian.

“Kerajaan mesti realistik dan membuat penilaian risiko berdasarkan data dan fakta. Kita semua sedia maklum kluster Covid-19 majoriti disumbang daripada sektor perkilangan dan pembinaan. Persoalannya kenapa kerajaan mengambil keputusan membenarkan dua sektor yang menyumbang kes tertinggi untuk beroperasi seperti biasa sedangkan sektor lain seperti butik pakaian yang sifar kluster tidak dibenarkan?

“Kami meminta kerajaan membuat penilaian berdasarkan fakta, bukan daripada desakan sesetengah sektor dan industri,” katanya yang mempunyai butik pakaian di Bandar Meru Raya.

Jelasnya, dengan justifikasi butik pakaian bebas daripada sebarang kluster, pematuhan SOP yang tinggi, impak ekonomi dan kebergantungan pendapatan pada industri pakaian yang besar, maka kerajaan harus membenarkan butik pakaian dibuka.