X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM minat dapatkan pengalaman Facebook

Saifuddin
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berminat untuk berkongsi pengalaman Facebook yang terlibat dalam program vaksinasi Covid-19 di beberapa negara sebagai panduan untuk Malaysia melaksanakan program yang sama.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Facebook terlibat dengan banyak negara dalam pengurusan Covid-19, termasuk negara yang menjalankan program vaksinasi Covid-19 menggunakan perisian Facebook bagi menguruskan data seperti data individu yang menerima suntikan dan kawasan yang terlibat.

Melalui kerjasama berkenaan, Saifuddin berkata, sudah pasti Facebook telah mengenal pasti negara yang mempunyai amalan terbaik untuk pengurusan vaksin bagi menangani pandemik berkenaan.

“Pastinya ada best practices walaupun ini benda baharu. Kita tak naklah jadi seperti, contohnya negara A pengurusan vaksinnya sangat berjaya dan licin sementara negara B ada banyak hiccup, kita tak mahu jadi seperti negara B,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri perbincangan secara maya dengan United States- ASEAN Business Council (US-ABC), di sini.

Hasrat tersebut disampaikan Saifuddin kepada wakil Facebook semasa sesi perbincangan yang berlangsung lebih sejam itu.

"Mereka nampaknya bersetuju untuk kongsi pengalaman,” katanya.

“Saya minta mereka kongsi best practices tersebut sebab kita tidak boleh gagal dalam program ini kerana kos vaksinasi sangat tinggi dan sangat diperlukan untuk negara. Jadi belajar daripada pengalaman orang lain itu tidak akan rugi,” katanya.

Saifuddin berkata, pihak Facebook boleh berkongsi pengalaman mereka dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan secara terus atau melalui kaedah KKMM sebagai perantara bagi kedua-dua kementerian berkenaan.

Selain Facebook, sesi perbincangan US-ABC itu turut melibatkan perbincangan dengan wakil daripada Amazon, Cisco, C&M International, Oracle, Qualcomm, Seagate, Stripe dan Google.

Saifuddin berkata, perbincangan antara lain menyentuh mengenai keselamatan siber, cloud first policy, peraturan berkaitan percukaian perkhidmatan digital, transformasi digital, kesalinghubungan dan pengurusan pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!