Buku Tommy Thomas karut, kata Takiyuddin

Takiyuddin Hassan, Tommy Thomas
Takiyuddin Hassan, Tommy Thomas
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan banyak aspek dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang karut terutama mengenai akauntabiliti, ketelusan dan keadilan pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara dan mahkamah di negara ini.

Beliau turut mengakui buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu memberi kesan kepadanya.

“Sebagai seorang bekas pegawai undang-undang di mahkamah ketika permulaan kerjaya saya dalam bidang perundangan di tahun 1980an dulu dah ahli Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA), saya amat percaya bahawa setiap pegawai undang-undang yang berkhidmat akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip utama undang-undang.

"Melalui prinsip tersebut, kita akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak yang menjurus ke arah menjejaskan integriti dan tugasan pegawai undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam suratnya kepada pegawai perundangan dan kehakiman di negara ini pada Sabtu.

Sebelum ini, JALSOA mengecam Tommy berikutan menyifatkan mereka sebagai hanya menunggu gaji bulanan dan menanti pencen selepas persaraan.

Dalam kenyataannya, JALSOA berkata, pandangan Tommy itu bersifat jahat malah menghina seluruh pegawai undang-undang.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berpandangan, penulisan buku tersebut jelas menjurus kepada unsur penghinaan dan bersifat ‘mala fide’ yang berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Akibatnya telah menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara amnya dan pegawai undang-undang khasnya,” katanya.

Menurut Takiyuddin, Jabatan Peguam Negara dan mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka, menerima baik semua pandangan dan cadangan daripada dalam serta luar atau kritikan yang membina.

“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita anggap teguran yang membina itu boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai-pegawai kita.

“Bagaimanapun, teguran tersebut perlu ikhlas dan ‘with reasonable courtesy and responsibility within the limits of the law’ (dengan kesopanan dan tanggungjawab yang munasabah dalam had undang-undang),” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memerhatikan dan bertindak mengikut undang-undang terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan, kehakiman dan pegawainya.

Tegasnya, prinsip ‘the rule of law’ perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu dan kumpulan dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan.