X

Kindly register in order to view this article
!

Rohingya di Bangladesh takut pulang ke Myanmar

Tindakan keras Tatmadaw menyaksikan etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.- Agensi
A
A

DHAKA - Mengikut ketetapan, proses penghantaran pulang pelarian Rohingya di Bangladesh ke Myanmar akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

Perkara itu diputuskan pada awal bulan lalu menerusi rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.

Di bawah projek perintis itu, pelarian Rohingya yang terlibat perlu mengisi dan menandatangani borang bahawa mereka dengan rela hati mahu dihantar pulang serta akan mematuhi undang-undang sedia ada Myanmar.

Sebelum ini, dua usaha penghantaran pulang cuba dilakukan di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar yang ditandatangani pada 2017 tetapi gagal mencapai sebarang hasil, walaupun Yangon berulang kali memberi jaminan bersedia untuk menerima semula pelarian Rohingya terbabit.

Bagaimanapun, situasi terbaru yang menyaksikan rampasan kuasa dan penahanan Aung San Suu Kyi oleh Angkatan Tentera Myanmar atau Tatmadaw di Myanmar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelarian Rohingya yang berkira-kira mahu terlibat dalam projek perintis berkenaan.

Bagi mereka, jaminan keselamatan untuk pulang semakin rapuh ditambah pula penguasaan penuh Tatmadaw yang sebelum ini menindas etnik Rohingya.

"Tentera membunuh, merogol saudara perempuan dan ibu kami. Tentera turut membakar kampung halaman kami.

Kelompok ekstremis Buddha turut menjadi ancaman kepada pelarian Rohingya yang ingin pulang ke Rakhine. - Agensi
Kelompok ekstremis Buddha turut menjadi ancaman kepada pelarian Rohingya yang ingin pulang ke Rakhine. - Agensi

"Adakah kami diberi jaminan keselamatan di bawah pemerintahan junta?" kata Ketua Pertubuhan Pemuda Rohingya, Khin Maung di kem pelarian di Cox's Bazar.

Menurut Maung lagi, biarpun penahanan Suu Kyi dirai pelarian Rohingya di Bangladesh, namun mereka tetap menentang rampasan kuasa oleh tentera.

"Kami mengutuk keras rampasan kuasa itu. Kami sebahagian daripada rakyat Myanmar, jadi pada dasarnya kami merasakan hal yang sama dengan rakyat Myanmar iaitu menentang peralihan politik secara paksa.

"Apa pun, kami mendesak masyarakat antarabangsa supaya bersuara bagi menentang rampasan kuasa tersebut," katanya.

Memetik laporan AP, bulan lalu wakil Myanmar dan Bangladesh melakukan pertemuan untuk membincangkan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya.

Kementerian Luar Bangladesh berharap proses penghantaran pulang itu dapat dilaksanakan pada bulan Jun 2021.

Batal niat pulang ke Rakhine

Sementara itu, seorang warga emas Rohingya yang menjadi pelarian di Bangladesh, Mohammad Jaafar, 70, mengakui impiannya ialah pulang ke Rakhine dan telah menanti sejak sekian lama untuk berbuat demikian.

Bagaimanapaun, Mohammad terpaksa menguburkan harapan itu selepas berlaku perubahan rejim.

Mohammad menganggap penghantaran pulang etnik Rohingya secara aman tidak akan berlaku malah percaya mereka akan merasai penderitaan dua kali ganda daripada sebelumnya.

Bagi Nurul Amin, kebanyakan pelarian beranggapan proses penghantaran pulang ke Myanmar tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat.

"Jika terdapat arahan untuk penghantaran pulang, kami tidak setuju untuk kembali dalam situasi ketika ini.

"Ia umpama masuk ke mulut harimau. Kami akan lebih terseksa," ujarnya.

Pelampau sami Buddha, Ashin Wirathu terkenal dengan retorik nasionalis anti Islam khususnya terhadap komuniti Rohingya di Rakhine.
Pelampau sami Buddha, Ashin Wirathu terkenal dengan retorik nasionalis anti Islam khususnya terhadap komuniti Rohingya di Rakhine.

Dalam pada itu, kerajaan Bangladesh berharap Tatmadaw tidak akan mempengaruhi pemerintahan baharu Myanmar sekali gus menutup pintu untuk penghantaran semula pelarian etnik Rohingya.

"Sebagai negara jiran paling hampir, kami ingin melihat perdamaian dan kestabilan di Myanmar. Kami juga berusaha mengembangkan hubungan yang membawa keuntungan kepada kedua belah pihak.

"Myanmar dan Bangladesh sebelum ini telah bersetuju projek perintis penghantaran pulang pelarian Rohingya secara sukarela, aman dan berkesinambungan," kata Kementerian Luar Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggambarkan penindasan Tatmadaw terhadap etnik Rohingya di Rakhine pada 2017 sebagai genosid.

Susulan tindakan keras Tatmadaw, lebih sejuta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh serta beberapa negara lain terutamanya Malaysia.

Berita penahanan Suu Kyi yang juga pemimpin Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) oleh Tatmadaw pada Isnin lalu diraikan pelarian Rohingya yang berada di kem-kem penuh sesak di Bangladesh.

Penahanan pemimpin berusia 75 tahun itu dianggap sebagai 'berita baik' kerana Suu Kyi dituduh sebagai punca kepada penderitaan yang dilalui etnik Rohingya.

Ini kerana sebelum ini Suu Kyi mempertahankan tindakan Tatmadaw di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 2019.

Antara penindasan yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya termasuk merogol dan membunuh. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!