UniKL lebarkan penguasaan

No Image Caption
A
A
A

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) melebarkan jurang mata sebagai pendahulu saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-2 di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan UniKL mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan sekali gus selesa mengumpul 25 mata meninggalkan pencabar terdekat, TNB di tangga kedua dengan 21 mata.

Pada pertembungan hari ini, UniKL bangkit daripada ketinggalan 1-2 selepas gol pembukaan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menerusi gol padang pada minit ke-10 dipadamkan TNB hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil pada minit ke-15 dan pukulan sudut penalti Norshafiq Sumantri lima minit kemudian.

Muhammad Razie Rahim menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-43 selepas tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum jaringan padang pemain import, Kieran Ian Govers meletakkan UniKL di hadapan, berselang empat minit.

TNB kemudian bangkit memperkemaskan permainan dalam usaha memburu gol penyamaan, namun benteng pertahanan pasukan lawan berjaya mematahkan setiap percubaan sebelum Mohamad Ashran Hamsani meledak gol padang pada minit ke-55 untuk mengesahkan kemenangan 4-2 UniKL.

Sementara itu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar kemenangan 5-3 ke atas pendatang baharu, Nurinsafi/Hoki Kedah pada aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Lima gol THT, masing-masing dijaringkan Mohd Shahrun Nabil Abdullah (jaringan padang minit kelapan), diikuti Faizal Saari (pukulan sudut penalti minit ke-20), Jang Jonghyun (pukulan sudut penalti minit ke-40 dan 59) dan Faizal Saari melalui gol padang pada minit ke-48.

Sementara tiga gol Nurinsafi/Hoki Kedah disumbangkan Joel Samuel Van Huizen (pukulan sudut penalti minit ke-10), Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi (jaringan padang minit ke-50) dan Baljit Singh Sarjab daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Artikel Berkaitan:

Turut meraih tiga mata adalah Maybank selepas menundukkan TNB Thunderbolts 2-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.

Muhammad Haziq Samsul muncul wira skuad tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59 selepas kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan Muhammad Hafiizhuddin Zaidi (jaringan padang minit ke-18) diikuti jaringan penyamaan TNB Thunderbolts pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Muhammad Syazwan Syafiq Basir. - Bernama