‘Ummi maafkan ibu dia’

Norlida ketika ditemu bual pada program Sinar Live yang bertajuk Rindu Yang Tak Akan Padam pada Jumaat.
Norlida ketika ditemu bual pada program Sinar Live yang bertajuk Rindu Yang Tak Akan Padam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Keluarga angkat kepada kanak-kanak tujuh tahun yang maut dipercayai akibat didera pada 29 Januari lalu telah pun memaafkan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak terbabit.

Ibu angkat kepada mangsa iaitu Norlida Abu Hassan, 50, berkata, meskipun beliau bersama keluarganya masih merasai kepedihan atas pemergian anak angkatnya yang mesra disapa 'Adik' itu, namun beliau redha dan berserah kepada ALLAH atas kejadian yang berlaku.

“Ummi maafkan ibu dia. Itu bukan kesilapan dia. Kesilapan dia hanya ALLAH yang tahu dan kalau dia minta ampun dan bertaubat, insya-ALLAH akan diampunkan,” katanya ketika ditemu bual pada program Sinar Live yang bertajuk Rindu Yang Tak Akan Padam pada Jumaat.

Turut sama pada program itu ialah bapa angkat kanak-kanak tersebut, Md Tarmidi Yaaccob, 52, dan tiga orang adik-beradik angkat yang pernah hidup bersama kanak-kanak tersebut sejak Allahyarham berusia dua bulan sehinggalah enam tahun.

Pada masa sama, Norlida yang juga dipanggil Ummi itu turut merayu kepada masyarakat supaya turut sama memaafkan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak tersebut.

“Jangan kita menghukum menghina mereka sebab kita tak tahu situasi mereka kenapa mereka bertindak. Betul ataupun tidak mereka bertindak sedemikan,” katanya.

Sementara itu, Md Tarmidi berkata, beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam kepada ibu kandung dan bapa tiri Allahyarham.

“Kalau nak berdendam itu, saya tak nak berdendam sebab berat dendam itu. Kita redha untuk lepaskan. ALLAH Yang Maha Menghukum, kita tak boleh menghukum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setelah mendapat berita mengenai kejadian tersebut, beliau dan kesemua keluarganya mengakui berasa marah terhadap apa yang berlaku namun yakin dengan ketentuan ditetapkan ALLAH.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kejadian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Pada Isnin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas Amir mendapat terdapat luka kecil baharu sebesar tiga sentimeter di bahagian belakang kepala kanak-kanak tersebut.

Mohd Sukri berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan penuh kerana doktor masih menunggu maklumat lanjut daripada bahagian makmal untuk mengesahkan punca kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Terdapat kesan luka, lebam pada arwah: PDRM