Pelancongan hutan batu kapur kurang popular

Gambar dari kiri: Mohd Hasrol Khamis dan Muzaffar Mohamad
Gambar dari kiri: Mohd Hasrol Khamis dan Muzaffar Mohamad
A
A
A

IPOH - Aktiviti melibatkan hutan batu kapur masih kurang popular dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai salah satu produk pelancongan meskipun Lembah Kinta mempunyai lebih 20 gunung batu kapur.

Pengasas Radak Adventure, Mohd Hasrol Khamis berkata, sesuai dengan statusnya sebagai tapak Geopark Kebangsaan, antara aktiviti lasak yang boleh dilakukan adalah penerokaan gua, memanjat batu, 'via ferrata', 'abseiling', 'zipline' dan 'high rope course'.

Menurutnya, Thailand dan Laos antara negara yang memanfaatkan alam semulajadi hutan batu kapur hingga menjadi pilihan pelancong untuk berkunjung ke negara itu.

"Aktiviti tersebut tidak banyak dikomersialkan di negara ini berikutan pembangunan industri pelancongan berkaitan bukit batu kapur tidak diberi keutamaan.

"Kerajaan memilih untuk mengeksploitasikan gunung-gunung batu kapur tersebut untuk memperoleh sumber mineral dan menaikkan ekonomi negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Katanya, jika diberi ruang kepada penggiat pelancongan, kesan limpahan ekonomi akan terus dinikmati oleh penduduk setempat.

"Melihat laporan Sinar Harian memang rasa kecewa apabila banyak kesan-kesan kuari telah memusnahkan alam sekitar. Perkara itu boleh dielakkan sekiranya kerajaan dapat mengawalnya daripada awal.

"Kami berharap tinggalan yang ada kini perlu dipelihara dan dipulihara sepenuhnya agar tiada lagi gunung-gunung batu kapur ini dieksplotasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perak, Muzaffar Mohamad berkata, kerajaan diharapkan dapat bekerjasama dengan penggiat rekreasi setempat bagi mendengar pandangan sebelum meluluskan sesuatu permit kuari.

Katanya, keunikan bukit batu kapur yang menyimpan sejarah selain memiliki tasik-tasik yang cantik didalamnya boleh dibangunkan sebagai sebahagian ekonomi negeri.

"Keunikan pelancongan berkonsep mendaki denai gunung batu kapur adalah salah satu cara yang boleh menarik minat pendaki untuk melihat panorama kerana ia pendakian ringkas dan singkat.

"Kerjasama boleh dipertingkatkan dengan kami bagi mewujudkan malim gunung batu kapur di Lembah Kinta selain dicadangkan supaya memperuntukkan dana pembangunan produk pelancongan gunung batu kapur untuk penyediaan laluan selamat dan eksplorasi lengkap," katanya.

Berhubung isu keselamatan, Muzaffar mencadangkan supaya diadakan kursus menyelamat bagi pemilik tokong batu kapur mahupun penggiat aktiviti rekreasi gunung batu kapur demi memastikan keselamatan pengunjung.