Alumni UMT sokong kempen antirasuah

Mohd Khairul Hakimi
Mohd Khairul Hakimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lebih 35,000 alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia membantu menggerakkan kempen kesedaran mengenai bahaya rasuah dalam masyarakat bagi melahirkan generasi lebih berintegriti.

Presiden Persatuan Alumni UMT, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi berkata, ahlinya merata di seluruh negara dalam pelbagai bidang sama ada sektor perkhidmatan awam atau swasta yang boleh memainkan peranan mengikut kemampuan.

“Persatuan Alumni UMT menyokong usaha #RasuahBuster dan kami boleh membantu kempen ini dengan menanam kesedaran kepada masyarakat bukan saja pelajar universiti malah bermula dari peringkat sekolah lagi.

“Capaian kami paling berkesan adalah melalui keahlian kami seramai 35,000 orang yang ada di seluruh negara dalam pelbagai sektor,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia suatu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa sebarang agenda politik.

Menurut Mohd Khairul Hakimi, pihaknya menyokong usaha dan gerakan yang dilakukan Hussamuddin agar Malaysia bebas daripada sebarang bentuk perlakuan rasuah dan penyelewengan.

“Bila pemimpin tunjuk budaya tidak baik, ia akan jadi ikutan akar umbi. Jika akar umbi beri signal ia (rasuah) satu kebiasaan kita takut ia akan menular jadi budaya biasa dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Solusinya, akar umbi perlu ada kemahuan untuk tidak memberi sokongan dan menolak mana-mana pemimpin yang mempunyai rekod (rasuah dan penyelewengan), kena berani buat,” katanya.