Guna MySejahtera pantau suntikan vaksin

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memantau dan memaksimumkan pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 26.5 juta rakyat Malaysia sebaik sahaja bekalan itu mula diterima hujung bulan ini.

Demikian cadangan pakar perubatan kesihatan awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani sebagai salah satu kaedah terbaik bagi kerajaan memastikan program vaksinasi terbesar negara untuk satu tempoh masa jangka yang pendek itu berjalan dengan lancar dan sistematik.

Walaupun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis telah memaklumkan tiga fasa pengagihan suntikan vaksin, namun sehingga kini rakyat masih tertanya bagaimana, bila dan di mana sebenarnya mereka akan menerima suntikan itu.

Ini kerana pakar-pakar kesihatan melahirkan kebimbangan akan timbul kekeliruan dan kekecohan memandangkan jumlah 26.5 juta penerima vaksin bukanlah satu angka yang kecil.

“Melalui kaedah mewajibkan rakyat menggunakan aplikasi MySejahtera, kerajaan lebih mudah mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 atau lebih berisiko dijangkiti virus itu.

“Lebih menarik, kerajaan juga boleh memfokuskan strategi pengedaran vaksin kepada kawasan yang berisiko tinggi Covid-19 terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, penggunaan aplikasi MySejahtera juga merupakan platform terbaik untuk rakyat mendapatkan maklumat terkini berkenaan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 di kawasan masing-masing.

Jelas beliau, hal ini disebabkan aplikasi berkenaan bersifat komunikasi dua hala dengan kerajaan dan akan dilihat lebih telus.

Artikel Berkaitan:

“Bila orang ramai klik pada aplikasi MySejahtera, mereka sudah boleh tahu siapa hidap Covid-19 di sekeliling mereka dan siapa sudah menerima vaksin kerana MySejahtera sudah dilengkapi sistem pengumpulan data komprehensif.

“Kewajipan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada rakyat bagi tujuan perincian bekalan vaksin juga secara tidak langsung menggalakkan rakyat mempertingkatkan penggunaannya pada masa hadapan,” katanya.

Setakat 4 Disember tahun lalu difahamkan lebih 24.5 juta pengguna telah pun memuat turun aplikasi MySejahtera menerusi telefon pintar masing-masing.

Dalam pada itu, Presiden Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Omar, mencadangkan fasa awal pemberian vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer perlu ditumpukan kepada lebih 200,000 frontliner.

Sementara itu, fasa pengedaran seterusnya membabitkan orang awam, Dr Zainal Omar lebih mengesyorkan kerajaan memberikan vaksin jenis Astra Zeneca berbanding vaksin Pfizer.

“Vaksin Astra Zeneca yang dihasilkan oleh syarikat dari Eropah menggunakan teknologi berbeza daripada Pfizer kerana kaedah kawal selianya tidak memerlukan fasiliti bertaraf tinggi.

“Vaksin Astra Zeneca ini juga akan memudahkan urusan logistik dan mobiliti,” katanya.

Beliau juga menolak cadangan kerajaan perlu menerokai bekalan vaksin Covid-19 daripada pelbagai sumber berlainan.

Katanya, penggunaan terlalu banyak jenis vaksin akan menyukarkan pemantauan daripada pihak berwajib.