X

Kindly register in order to view this article
!

Gesa campur tangan kerajaan Perak

Muka depan akhbar Sinar Harian. Gambar kecil: Shariffa Sabrina
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Perak digesa campur tangan dalam isu Gunung Lanno yang semakin terancam apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil kecewa apabila pihak terbabit seolah-olah lepas tangan dalam isu berkenaan.

“Kita semua tahu aktiviti kuari ini sudah bertahun-tahun beroperasi dan semakin menjejaskan kelestarian kawasan sekitar.

“Walaupun pentadbiran kerajaan negeri Perak silih berganti namun sehingga kini tiada siapa yang berani menghentikan aktiviti kuari itu. Kenapa Menteri Besar tidak mahu campur tangan dalam hal ini?

“Sebagai pihak yang mempunyai kuasa mutlak, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu agar khazanah alam paling bernilai ini tidak pupus akibat pembangunan serta perbuatan rakus manusia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai di sini.

Gunung terbesar di Lembah Kinta yang memiliki lebih 30 gua batu kapur cantik dan unik itu kian musnah apabila ada lebih 20 kilang kuari ditempatkan di zon berkenaan.

Aktivis Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat, 38, berkata, keindahan hutan batu kapur mula terjejas apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina menegaskan, aktiviti kuari perlu mematuhi semua syarat dan ketetapan yang dinyatakan dalam Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi menjalankan projek itu.

“Namun perkara sebaliknya berlaku, pengusaha kuari tidak mengikut garis panduan dalam EIA. Malah, banyak ‘kecurangan’ berlaku dari segi undang-undang alam sekitar.

“Walaupun kita berkali-kali bersuara dalam isu ini tetapi keadaan tetap sama, pihak atasan masih diam membisu serta tidak ambil peduli mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya.

Ujar beliau lagi, kemusnahan Gunung Lanno akan membawa malapetaka dan bencana berterusan kerana persekitaran membawa kesan besar terhadap kehidupan manusia.

“Kita terlampau memikirkan tentang pandemik Covid-19 sehingga mengabaikan tentang penjagaan alam. Ini satu kesilapan besar.

“Gunung umpama tiang kepada alam, kalau semakin ditarah atau dimusnahkan, tidak mustahil akan berlaku gegaran di kawasan sekitar.

“Kalau kelestarian alam tidak dijaga, banyak lagi ‘penyakit’ akan datang. Justeru, kita mohon kerajaan negeri bertindak pantas memulihara gunung ini, hentikanlah aktiviti kuari ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!