X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada jalan singkat untuk kaya

A
A

BAHAGIAN Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menyita aset bernilai RM1.7 bilion dalam tempoh tiga tahun sejak tahun 2018 hingga 2020.

Sebahagian besar aset yang disita meliputi sebanyak 304 buah kenderaan, 87 unit hartanah, wang tunai RM126 juta serta cek bank bernilai RM4.8 juta.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Senior Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 4,020 akaun bank turut disita.

Katanya, sebelum itu sebanyak 429 kertas siasatan dibuka melibatkan pembekuan sejumlah 4,758 akaun bank, amanah saham bernilai RM535,418.59, 285 buah kenderaan dan 65 unit hartanah yang membawa nilai sehingga RM889 juta tidak termasuk 232 juta unit saham pelbagai syarikat.

“Setelah siasatan dijalankan hasil pembekuan aset terbabit, proses seterusnya ialah penyitaan.

"Itu dilakukan setelah AMLA berpuas hati dengan siasatan sepanjang pembekuan aset,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, seramai 35 orang ditangkap terdiri daripada 24 lelaki dan 11 wanita membabitkan 435 pertuduhan.

“Penyumbang kes utama AMLA dalam tempoh tiga tahun turut melibatkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Cuci duit

Cuci duit sinonim dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Fazlisyam berkata, terdapat tiga proses bagi suspek untuk mengubah wang haram menjadi ‘halal’ iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi.

Menurutnya, proses itu melibatkan penukaran wang tunai atau harta yang didapati daripada aktiviti jenayah bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan sumber asal kegiatan terbabit.

“Bagi tahap pertama iaitu penempatan, wang yang diperoleh daripada hasil aktiviti haram akan dilaburkan menerusi sistem kewangan yang sah.

“Penjenayah akan membahagikan wang tunai kepada jumlah yang kecil untuk didepositkan ke akaun beberapa bank serta di lokasi berlainan,” katanya.

Jelasnya, peringkat kedua pula ialah pelapisan iaitu proses pusingan pelbagai tingkat termasuk menjadikan wang haram dengan memisahkan wang diperoleh untuk menjauhkan wang itu daripada sumber asalnya.

“Pada peringkat itu, penjenayah akan mengeluarkan wang simpanan mereka secara berulang kali melalui pelbagai bank yang berbeza.

“Peringkat akhir iaitu integrasi adalah proses serap ke dalam sistem kewangan dan ekonomi yang sah,” katanya.

Katanya, peringkat itu sukar untuk membezakan antara hasil kekayaan sah atau haram.

“Contohnya suspek memperoleh sejumlah wang bernilai RM500,000 daripada sumber kegiatan haram.

“Duit itu kemudian disembunyikan menerusi proses pelapisan iaitu pembahagian duit ke akaun proksi termasuk memasukkan ke akaun kenalan, ahli keluarga selain membeli kenderaan.

“Seterusnya, proses integrasi berperanan apabila duit yang dipecahkan tadi masuk ke dalam ekonomi untuk dilihat sebagai wang sah di mana duit tunai diserahkan kepada individu lain sebelum duit itu dimasukkan semula ke akaun suspek.

“Ada yang menggunakan alasan konon membayar hutang dan sebagainya, walhal duit itu asalnya daripada sumber tidak sah,” katanya.

Prosedur siasatan AML

Menurut Fazlisyam, pihaknya memulakan siasatan apabila mendapati wujudnya elemen pengubahan wang haram dalam kes yang disiasat.

“Setiap hari, Bahagian AMLA mengkaji dan pantau kes yang berlaku di seluruh negara tidak kira dibuka di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJK atau jabatan lain.

"Kita akan menilai jika ada keperluan kertas siasatan dibuka.

“AMLA hanya wujud di peringkat Bukit Aman sahaja dengan kekuatan agak terhad. Jadi, kita akan pastikan kes yang diambil memberi impak kepada masyarakat dalam secara tidak langsung melenyapkan motivasi kepada pelaku jenayah,” katanya.

Akuinya, siasatan AMLA memberi fokus kepada pembuktian kesalahan pengubahan wang haram yang berlaku daripada aktiviti kesalahan jenayah berat dan hasil-hasil yang diperolehi daripada kesalahan yang dilakukan.

“Apabila kita ambil tindakan kepada jenayah sedemikian, ia dapat memberi kesan besar ke atas kumpulan atau pelaku jenayah. Kekuatan kewangan mereka dapat dilumpuhkan,” katanya.

Jelasnya, AMLA bukan sahaja ada wujud dalam PDRM, sebaliknya agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut mempunyai unit AMLA masing-masing.

Dari segi prosedur siasatan, katanya, individu yang disyaki terlibat akan dipanggil untuk proses merekod keterangan dan mengumpul bukti.

“Akta memperuntukkan kuasa untuk melakukan tangkapan dan rampasan.

“AMLA memperuntukkan kuasa untuk mengambil tindakan ke atas harta yang disyaki terlibat termasuk kuasa membeku harta dan termaktub di bawah Seksyen 44 AMLATFPUAA yang mana pegawai penyiasat ada kuasa untuk melaksanakan tindakan itu selama 90 hari.

“Selepas itu, kalau ada keterangan yang menunjukkan setiap harta tersebut menunjukkan hal perkara kepada siasatan yang dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) serta Pegawai Penyiasat Kanan kes berhak membuat sitaan harta dengan lanjutan selama 12 bulan.

“TPR ada kuasa menyita akaun bank dan harta tidak alih seperti hartanah dan rumah. Tetapi bagi harta alih seperti kenderaan dan barang kemas, itu di bawah kuasa Pegawai Penyiasat Kanan.

“Tindakan akhir sama ada tuduh dan bicara, lucut hak secara sivil atau tiada tindakan lanjut (NFA) di mana harta itu harus diserahkan semula,” katanya.

Katanya, dalam kes AMLA, terdapat pelbagai jenis golongan yang disiasat termasuk orang politik dan artis.

“Kesalahan pengubahan wang haram ini boleh sahaja dilakukan oleh mana-mana golongan,” katanya.

Peranan AMLA

Fazlisyam berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ditubuhkan pada tahun 2005 bagi memberi fokus kepada kes jenayah komersial.

“Bagi kes jenayah pengubahan wang haram, ketika itu ia disiasat Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau berkata, susulan penubuhan JSJK, bahagian siasatan pengubahan wang haram turut dibentuk yang mana tugasnya adalah menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram.

“Bahagian ini berevolusi sejak tahun 2005 sehingga sekarang. Pada tahun 2010, Bahagian AMLA diletakkan di bawah jabatan lain dalam PDRM iaitu Pasukan Petugas Khas (Operasi / Anti Pengganas).

"Ia kerana susulan pindaan akta yang memasukkan sekali kesalahan pembiayaan keganasan dalam akta pencegahan pengubahan wang haram.

“Kemudian, pada tahun 2014, jabatan itu dibubarkan dan Bahagian AMLA dikembalikan ke JSJK, manakala elemen antipengganas dimasukkan semula dalam Cawangan Khas.

“Pada tahun 2016, Bahagian AMLA sekali lagi dipindahkan mengikut kehendak dan situasi semasa dengan diletakkan di bawah Urusetia Ketua Polis Negara sebelum diserap kembali ke JSJK pada April tahun lalu.

“Ini bagi kepentingan tugas dan hala tuju PDRM kerana tugas siasatan AMLA lebih mirip dengan siasatan jenayah komersial,” katanya.

Katanya, peranan AMLA dalam PDRM bagi mengambil tindakan siasatan untuk kes pengubahan wang haram di bawah bidang kuasa PDRM sama ada kes di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJK, Cawangan Khas atau lain-lain jabatan.

Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 424 jenis kesalahan berat disenaraikan dalam Jadual Kedua AMLA daripada 51 akta berkaitan.

“Siasatan AMLA dibuat bagi kes-kes jenayah yang disenaraikan sebagai kesalahan berat dalam Jadual Kedua seperti Akta Pertaruhan, Akta Pemerdagangan Orang, Kanun Keseksaan seperti tipu, culik dan lain-lain disebabkan hasil haram yang diperolehi,” katanya.

Lumpuhkan kegiatan haram

Fazlisyam berkata, AMLA memainkan peranan penting bagi memenuhi visi dan misi PDRM terutama isu yang mengancam masyarakat termasuk kes penipuan, gengsterisme, penyeludupan selain Ops Khazanah.

“AMLA juga sebuah unit yang rapat dengan agensi lain untuk menyelaraskan tindakan bagi memastikan setiap yang disiasat adalah berkesan,” katanya.

Tegas beliau, pihaknya tidak mahu penjenayah sewenang-wenangnya menikmati aktiviti haram yang dilakukan.

“Selain itu, AMLA juga bekerjasama dengan BNM dan beberapa agensi lain untuk memastikan pematuhan semua pihak yang termaktub dalam akta ini.

“Dalam memastikan tindakan yang dilakukan sentiasa di landasan terbaik, negara kita tertakluk dengan kehendak dunia di mana usaha memerangi jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan turut dipantau Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Kumpulan Asia Pasifik (APG).

“Di peringkat domestik pula, tindakan memerangi jenayah itu turut diselaras oleh beberapa agensi lain seperti BNM, Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan beberapa sekretariat yang dianggotai semua pihak berkuasa yang terlibat,” katanya.

Statistik Kes Pembekuan AMLA

Tahun 2018

Jumlah Kertas Siasatan - 127

Akaun Bank - 1,803

Kenderaan - 158

Hartanah - 25

JUMLAH - RM382 juta

Tahun 2019

Jumlah Kertas Siasatan - 138

Akaun Bank - 1,103

Kenderaan - 72

Hartanah - 30

Saham - 129 juta unit

JUMLAH - RM284 juta

Tahun 2020

Jumlah Kertas Siasatan - 164

Akaun Bank - 1,852

Amanah Saham - RM535,418.59

Kenderaan - 55

Hartanah - 10

Saham - 103 juta unit

JUMLAH - RM222 juta dan 103 juta unit sahamKeseluruhan kes pembekuan bagi tempoh 3 tahun

1) Jumlah Kertas Siasatan - 429

2) Akaun Bank - 4,758

3) Amanah Saham - RM535,418.59

4) Kenderaan - 285

5) Hartanah - 65

6) Saham - 232 juta unit

JUMLAH - RM889 juta dan 232 juta unit

Statistik Kes Penyitaan AMLA

Tahun 2018

Akaun Bank - 1,665

Kenderaan - 84

Hartanah - 46

Wang tunai - RM1.8 juta

Cek Bank - RM2.1 juta

Lain - lain - RM315,995

JUMLAH - RM385 juta

Tahun 2019

Akaun Bank - 1,043

Kenderaan - 113

Hartanah - 27

Wang Tunai - RM117 juta

Cek Bank - RM2.5 juta

Lain- lain - RM577 juta

JUMLAH - RM1.2 bilion

Tahun 2020

Akaun Bank - 1,312

Kenderaan - 107

Hartanah - 14

Wang Tunai - RM7.5 juta

Cek Bank - RM20,429.87

Saham - 156 juta unit saham

JUMLAH - RM143 juta dan 156 juta unit sahamKeseluruhan kes penyitaan bagi tempoh 3 tahun

1) Jumlah Akaun - 4,020

2) Kenderaan - 304

3) Hartanah - 87

4) Wang Tunai - RM126.4 juta

5) Cek Bank - RM4.8 juta

6) Lain-lain - RM577 juta

7) Saham - 156 juta unit saham

JUMLAH - RM1.7 bilion dan 156 juta unit saham

Kes membabitkan AMLA

28 Mac 2019

Notis usul lucut hak ke atas tujuh akaun bank bapa Low Taek Jho atau Jho Low, Low Hock Peng difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebanyak tiga akaun RHB Bank dan empat akaun Maybank milik Hock Peng berjumlah RM48 juta dipohon dilucuthakkan menerusi Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

13 April 2019

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat bukti jejak kewangan (money trail) transaksi pembelian berlian merah jambu (pink diamond) yang bernilai AS$23 juta (RM95 juta).

Perkara itu disahkan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah AMLA, Urus Setia KPN Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik.

21 Januari 2020

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkaitan dana yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM3 juta.

Kedua-dua pemimpin UMNO Johor itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Azman Ahmad dan Hakim, Azura Alwi.

20 Februari 2020

Seorang lelaki bergelar Datuk diberkas polis di kediamannya di Kemensah, Kuala Lumpur pada 19 Februari untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Asisten Komisioner Amran Yaacob mengesahkan menerima dua laporan membabitkan suspek berusia 50 tahun itu.22 Februari 2020Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang dirampas dan didakwa berhubung kait dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!