Buruh asing ditahan cuba sogok anggota polis

Buruh binaan yang ditahan dan diserahkan kepada SPRM kerana cuba memberi rasuah RM200 kepada anggota polis di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong pada Jumaat.
Buruh binaan yang ditahan dan diserahkan kepada SPRM kerana cuba memberi rasuah RM200 kepada anggota polis di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong pada Jumaat.
A
A
A

BENTONG - Tindakan seorang warga asing memberi sogokan RM200 kepada anggota polis mengundang padah apabila ditahan di Balai Polis Bukit Tinggi, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan datang ke kaunter di balai terbabit untuk mendapatkan permit pergerakan merentas negeri dari Bukit Tinggi ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, selepas meneliti dokumen sokongan, permohonan lelaki terbabit ditolak.

Menurutnya, suspek tersebut memberikan sogokan sebanyak RM200 sebagai rasuah kepada ketua balai dan tiga anggota lain.

"Sogokan itu diberikan kepada Sarjan Mejar Maznan Omar, Koperal Suhaimi Abdul Rahim, Koperal Dully anak Dampa dan Lans Koperal Muhamad Syafik Muhamad Saari untuk meluluskan permohonannya.

"Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Cawangan Raub untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Zaiham, beliau ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menawar atau memberi rasuah yang boleh merosakkan agama, bangsa dan negara.

"Pihak polis sentiasa bertegas dan tidak akan teragak-agak untuk menahan mana-mana individu yang mencuba memberi rasuah atau suapan kepada pihak polis," jelasnya.

Artikel Berkaitan: