Inkues kematian Adib bermula hari ini

A
A

SHAH ALAM - Kompleks Mahkamah Shah Alam sekali lagi menjadi tumpuan apabila inkues kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim, bermula hari ini.

Prosiding dijadualkan berlangsung selama 44 hari di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner.

Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah selaku Pengawai Pengendali Inkues dijangka akan memanggil lebih 30 saksi termasuk seorang pegawai penyiasat dan enam pakar perubatan yang merawat Muhammad Adib di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Medical, Institut Jantung Negara serta Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding berlangsung 44 hari, 30 saksi

Barisan peguam keluarga Muhammad Adib yang diketuai oleh Muhammad Kamaruzzaman A Wahab manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diwakili peguam, Syazlin Mansor serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) adalah sebagai pihak-pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Pada 31 Januari lalu, Rofiah mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kematian Muhammad Adib kerana mahkamah belum memulakan prosiding dan membuat keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini peringatan Koroner terutama kepada pihak berkepentingan

Sebelum ini salah seorang peguam keluarga Muhammad Adib berkata, pihaknya yakin anak guamnya mati disebabkan dipukul dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, Subang Jaya dekat sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Yakin Adib dipukul: Peguam

Pada pengurusan kes sebelum ini, Jawatankuasa Menyelamat kuil berkenaan dan sebahagian penganut Hindu gagal menjadi pihak-pihak berkepentingan selepas koroner menolak permohonan mereka atas alasan tidak mempunyai kepentingan nyata, substantif dan munasabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan task force Kuil Sri Maha Mariamman

Pada 18 Disember lalu, Muhammad Adib,24, disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam selepas tiga minggu menerima rawatan setelah mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dipukul dalam insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemergianmu ditangisi Muhammad Adib...