Jadikah AS jual senjata ke Arab Saudi dan UAE?

Emiriah Arab Bersatu yakin akan memperoleh jet-jet pejuang F-35 yang sebelum ini Amerika Syarikat bersetuju untuk menjualnya. - Foto AFP
Emiriah Arab Bersatu yakin akan memperoleh jet-jet pejuang F-35 yang sebelum ini Amerika Syarikat bersetuju untuk menjualnya. - Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Khamis mengumumkan AS tidak lagi menyokong Arab Saudi yang mengetuai perikatan tentera beberapa buah negara Arab dalam perang menentang kumpulan Houthi di Yemen.

Arab Saudi dan sekutu-sekutunya seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan kempen pengeboman di Yemen sejak tahun 2015 bertujuan menentang para pemberontak itu bagi memulihkan semula pentadbiran kerajaan pimpinan Presiden Abd Rabbuh Mansour Hadi yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Riyadh mendakwa Houthi ialah proksi Iran tetapi kumpulan itu menafikan menerima bantuan dari Teheran.

Menurut PBB pada tahun lalu, perang di Yemen telah membunuh kira-kira 233,000 orang dan menyebabkan negara miskin tersebut berada di ambang kebuluran dengan badan dunia itu menganggap ia sebagai krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Perang itu bermula pada tahun 2014 antara kerajaan Yemen dengan para pemberontak yang menentang pentadbirannya.

Setahun kemudian ia menjadi perang yang lebih besar apabila Arab Saudi dan lapan buah negara lain dengan sokongan AS, United Kingdom serta Perancis memulakan serangan udara ke atas kumpulan Houthi.

Washington terlibat memberikan sokongan kepada Arab Saudi dalam perang di Yemen semasa pemerintahan Barack Obama sebagai Presiden negara itu yang ke-44 manakala Biden pula ketika itu menjadi Naib Presiden AS.

Bagaimanapun, menurut portal Middle East Eye, masih belum jelas sama ada Biden akan hanya menggantung semua jualan senjata kepada Arab Saudi atau hanya sebahagian senjata sahaja yang digunakan dalam operasi ketenteraan di Yemen.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya pada Khamis, Biden juga menyatakan Arab Saudi berhadapan dengan serangan peluru berpandu, serangan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan lain-lain ancaman daripada sebuah kumpulan yang mendapat bantuan Iran.

Justeru, beliau menyuarakan komitmen untuk membantu Riyadh mempertahankan kedaulatan dan rakyatnya daripada ancaman tersebut.

Pada bulan lalu, pentadbiran Biden membekukan jualan senjata kepada Riyadh bagi membolehkan kajian semula penjualan tersebut dibuat.

Ia juga membuat tindakan yang sama terhadap penjualan peralatan senjata kepada UAE termasuk 50 jet pejuang F-35.

Keputusan untuk menjual senjata-senjata dan peralatan pertahanan itu dibuat ketika AS ditadbir oleh Presiden, Donald Trump.

Bagaimanapun, Duta UAE ke Washington, Yousef al-Otaiba memberitahu forum maya Institut Washington baru-baru ini bahawa beliau yakin jualan jet-jet F-35 kepada negaranya akan diluluskan selepas kajian semula tersebut selesai dilakukan pentadbiran Biden.

UAE sebelum ini dijanjikan akan memperoleh jet-jet F-35 buatan syarikat Lockheed Martin selepas ia menormalkan hubungan dengan Israel pada Ogos tahun lalu dengan AS menjadi 'orang tengah'.

Namun, kumpulan-kumpulan hak asasi manusia juga dilaporkan mengutuk penjualan itu dengan menyatakan ia akan meningkatkan konflik di rantau Asia Barat terutamanya di Libya dan Yemen.

Menurut Bruce Riedel iaitu Felo Kanan dan Pengarah Projek Perisikan Institut Brookings iaitu sebuah pertubuhan pemikir AS, bekas Setiausaha Negara, Mike Pompeo yang bertugas di dalam Kabinet Trump sebelum ini yakin Arab Saudi akan menang dalam peperangan di Yemen.

Pompeo juga dikatakan bercadang mahu melabelkan Houthi sebagai kumpulan pengganas semasa era pemerintahan Trump.

Sehubungan itu, Riedel berkata, tindakan pentadbiran Biden menggantung jualan senjata kepada Arab Saudi dan UAE termasuk menjual jet-jet pejuang F-35 dan mengkaji semula penyenaraian Houthi sebagai kumpulan pengganas merupakan perkara yang betul dilakukan dan sepatutnya tindakan tersebut bukan hanya bersifat sementara waktu.

Dalam ucapan yang menggariskan dasar luar AS itu, Biden bukan sahaja menyokong usaha PBB untuk mengadakan gencatan senjata tetapi juga berjanji untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan negaranya dan hubungan diplomatik bagi menamatkan perang Yemen.

Seorang aktivis Yemen-Amerika dan Profesor Madya dalam bidang pendidikan di Universiti Negeri Michigan, Shireen al-Adeimi berkata kepada portal Middle East Eye pada Khamis, juga mendesak Washington menghentikan penglibatannya dalam perang tersebut dengan sepenuhnya.

Beliau juga meminta supaya jualan senjata-senjata kepada Arab Saudi dihentikan dengan mengulas bahawa sokongan AS dalam perang tersebut telah menjadi sesuatu yang memalukan selain membawa kemusnahan kepada Yemen. - Agensi